Engear Tips 101 – 3 Langkah Untuk Memandu Kereta Secara Cool (Baca: Selamat).

Dengan melihat posisi kedudukan, ketinggian dan cara seseorang memegang stereng sahaja, anda boleh tahu adakah dia seorang pemandu yang cool ataupun tidak.

Ia mungkin nampak mudah, tetapi majoriti daripada pemandu di jalan raya duduk pada posisi yang salah. Bagaimana kita nak tahu yang kita berada dalam posisi duduk yang betul atau tidak?

1 – Kedudukan jarak antara kerusi dengan pedal

Ini salah satu daripada aspek yang para pemandu kurang ambil kisah. Ramai yang berfikiran adalah biasa bagi seseorang pemandu duduk pada mana-mana posisi, asalkan pedal boleh dicapai. Cuba anda pijak pedal brek dengan daya yang maksimum, jarak pedal brek sebenarnya agak jauh. Kaki anda dalam posisi lurus. Sekiranya berlaku kemalangan, kereta anda melanggar sesuatu dengan impak yang cukup kuat, impak tersebut akan menolak ke dalam dan boleh menyebabkkan kecederaan yang serius.

Kaki anda memerlukan ruang untuk dibengkokkan kerana ini akan mengurangkan risiko kecederaan jika berlaku kemalangan. Ubah posisi tempat duduk anda. Pastikan ketika kaki anda sedang memijak pedal brek dengan daya yang maksimum, lutut anda masih boleh dibengkokkan.

2 – Kedudukan jarak dari bahu ke stereng

Semakin jauh jarak anda dari stereng, semakin kurang daya yang anda ada. Namun begitu, anda tidak seharusnya duduk terlalu dekat dengan stereng kerana ini boleh menyebabkan kecederaan pada dada anda sekiranya berlaku kemalangan.

Jarak yang betul adalah apabila anda meletakkan pergelangan tangan di atas stereng, dengan bahu anda menyentuh kerusi dan siku dibengkokkan sedikit.

3 – Ketinggian tempat duduk

Posisi kedudukan yang betul biasanya sedikit tegak. Selain itu, posisi ketinggian tempat duduk mempunyai jarak sekurang-kurangnya 4 jari di antara kepala dengan bumbung. Kemudian, ubah ketinggian kerusi atau posisi stereng, pastikan ia berada di hadapan dada anda.