Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan kerjasama dengan Power-Up (P.UP) oleh Nazamax Malaysia dengan memperkenalkan pelan langganan pengecasan mudah alih eksklusif untuk pemilik Mercedes-Benz EQ.
Di bawah pelan MB Platinum 5, pemilik boleh memilih tempoh langganan satu, enam atau 12 bulan untuk menikmati manfaat berikut:
lima sesi pengecasan setiap bulan (DC 120 kW, sehingga 80 peratus SoC)
termasuk pakej cucian kereta, vakum dan pengilatan tayar
yuran perkhidmatan dan parkir percuma sehingga RM5 per sesi
Selain itu, pelanggan juga boleh menempah sesi menerusi aplikasi mudah alih P.UP, di mana perkhidmatan ini akan dihantar terus ke lokasi pelanggan, sama ada di rumah, pejabat, atau mana-mana destinasi.
Perkhidmatan percubaan telah pun dilancarkan di Pulau Pinang pada September 2024, dan kini tersedia di Lembah Klang dengan tiga unit van.
Ia akan diperluaskan ke Johor Bahru pada suku pertama 2026, dan seluruh Semenanjung Malaysia pada separuh kedua tahun yang sama.
Carro selaku platform kereta terpakai dalam talian terbesar di Asia Pasifik telah membuka dua bilik pameran jenama Zeekr serba baharu yang terletak di Bangsa, Kuala Lumpur dan Juru Autocity, Pulau Pinang.
Difahamkan, dua lagi bilik pameran Zeekr dijangka akan dibuka menjelang akhir tahun ini.
Dengan keluasan lebih 12,000 kaki persegi, Zeekr House yang terletak di Juru Autocity menawarkan perkhidmatan 3S (jualan, servis, dan alat ganti) kepada pelanggan di sekitar kawasan tersebut.
Ini adalah susulan kepada perkembangan terbaharu di mana Carro telah dilantik oleh Zeekr sebagai pengedar sah baharunya di Malaysia.
Dalam perjanjian Memorandum Persefahaman yang ditandatangani Jun lalu, Carro akan membuka empat bilik pameran Zeekr serta tiga bengkel Carro Care untuk menyokong usaha runcit dan penyelenggaraan bagi jenama EV tersebut.
Mforce Bike Holdings membawakan sebuah lagi skuter elektrik untuk pasaran tempatan, kali ini di bawah jenama QJMotor iaitu E-LTR 2025.
Dari segi kuasa, QJMotor E-LTR dijana dengan motor elektrik 4.02 hp yang mampu mencapai kelajuan maksimum 70 km/j, dan terdapt tiga mod kelajuan yang boleh dipilih.
Dengan bateri lithium-ion 74V 27Ah, E-LTR mampu mencapai jarak tunggangan sejauh 105 km untuk sekali cas penuh.
Tempoh pengecasan 30-80 peratus SoC hanya mengambil masa 5-6 jam.
Terdapat dua slot bateri disediakan, satu didatangkan standard bersama skuter manakala satu unit bateri lagi boleh ditambah secara pilihan.
Antara ciri yang dimuatkan termasuklah penyerap hentak hidraulik depan dan belakang, sistem brek cakera dengan teknologi CBS, rim 12 inci, lampu LED, paparan meter LCD dan slot pengecasan USB.
E-LTR turut menyediakan ruang simpanan di bahagian bawah tempat duduk, ruang tambahan berkembar di hadapan, serta cangkuk barang.
Skuter ini turut mempunyai fungsi kod ralat untuk memudahkan pengguna mengesan sebarang masalah teknikal dengan pantas.
Berat keseluruhan skuter elektrik ini cuma 98.5 kg tanpa bateri, sementara tinggi pelana pula sekitar 760 mm.
Harga jualan bermula dari RM6,999 (atas jalan tanpa insurans dan pendaftaran), di mana pemilik juga layak untuk menerima rebat MARiiCas sehingga RM2,400.
Pro-Net baru-baru ini mengadakan sesi pra-tonton untuk sebuah lagi model SUV elektrik yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, iaitu smart #5 2025.
Model ini dibina berdasarkan platform PMA2+ yang turut sama digunakan pada model keluaran Geely seperti Zeekr 7X.
Berikut merupakan lima perkara yang anda perlu tahu tentang smart #5.
Dimensi
Diposisikan sebagai SUV segmen D, smart #5 membawakan ukuran yang jauh lebih besar jika dibandingkan dengan adik-beradiknya smart #1 dan #3.
SUV ini berukuran 4,705 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,705 mm dengan jarak antara roda 2,900 mm dan jarak kelegaan tanah setinggi 197 mm.
Sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah SUV lasak, smart #5 boleh meredah air sedalam 500 mm.
Luaran
Terdapat dua unit smart #5 yang dipamerkan baru-baru ini.
Versi Brabus tampil dengan kit badan sporti, spoiler belakang, tema warna dua tona, serta padanan rim aloi monoblock Z bersaiz 21 inci yang dibaluti tayar Continental EcoContact 7.
Turut dipamerkan #5 Premium tanpa kit badan Brabus dengan rim aerodinamik bersaiz 20 inci.
Secara keseluruhan, smart #5 membawakan reka bentuk badan berkotak, jauh berbeza jika dibandingkan dengan #1 dan #3.
Dalaman
Untuk ruang kabin, smart #5 dilengkapi dengan skrin kluster 10.3 inci, skrin berkembar OLED sebesar 13 inci, sambungan Apple CarPlay & Android Auto, skrin paparan head-up 25.6 inci dengan realiti terimbuh (AR), sistem pencahayaan ambien 256 warna serta slot pengecasan tanpa wayar.
Penumpang baris kedua pula disediakan dengan butang fungsi ‘Boss’, ‘Comfort Mode’, larasan berkuasa elektrik serta fungsi pemanas.
Dari segi praktikaliti, model ini menyediakan ruang kargo sebesar 1,530 liter, serta ruang kargo hadapan 72 liter.
Varian terendah hanya didatangkan dengan sistem audio 9 pembesar suara, sementara dua varian tertinggi hadir dengan sistem audio Sennheiser dengan 20 pembesar suara.
Varian Brabus pula hadir dengan kelengkapan eksklusif seperti roda stereng Alcantara, trim Dinamica pada tempat duduk dan pintu, serta ciri bunyi enjin simulasi.
Varian
Terdapat tiga varian smart #5:
Pro
– motor elektrik tunggal pacuan roda belakang (RWD)
– kuasa 335 hp/373 Nm
– pecutan 0-100 km/j 6.9 saat
– kelajuan maksimum 200 km/j
– pek bateri LFP 76 kWh
– jarak gerak 465 km (WLTP)
– 11 kW AC
Premium
– kuasa 358 hp/373 Nm
– pecutan 0-100 km/j 6.5 saat
– pek bateri NMC 100 kWh
– jarak gerak 590 km (WLTP)
– 22 kW AC
Brabus
– tetapan dua motor elektrik AWD
– kuasa 637 hp/710 Nm
– pecutan 0-100 km/j 3.8 saat
– kelajuan maksimum 210 km/j
– jarak gerak 540 km (WLTP)
– tetapan suspensi sport
Secara standard, smart #5 dilengkapi dengan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Comfort dan Sport.
smart #5 Brabus pula mendapat tambahan mod pemanduan termasuklah Snow, Sand, Mud, Rock, Adaptif dan juga Brabus.
Dengan senibina elektrik 800V, smart #5 boleh menyokong pengecasan pantas 15 minit dari 10-80 peratus SoC (varian Premium & Brabus sahaja).
Keselamatan
Ciri keselamatan termasuklah enam beg udara, serta teknologi ADAS yang dibantu oleh 12 radar ultrasonik, 5 radar gelombang mm, 4 kamera keliling, 2 kamera HD, dan satu kamera kokpit.
Ini membolehkan #5 menawarkan fungsi seperti brek kecemasan autonomi (AEB), bantuan lorong (LKA, ELKA, LDW), bantuan kesesakan trafik (TJA), bantuan lebuh raya (HWA, ALCA), amaran pelanggaran hadapan (FCMS), amaran lintasan trafik (FCTA, RCTA), sistem pengesanan titik buta, serta ciri parkir autonomi penuh (FAP).
Jetour Malaysia mengumumkan pencapaian yang membanggakan sejak memulakan program pemasangan tempatan (CKD) pada Jun 2025.
Sehingga kini, sebanyak lebih 2,000 tempahan telah diterima manakala lebih 1,000 unit SUV Dashing dan VT9 telah pun diserahkan kepada pelanggan.
Kejayaan tersebut didorong oleh peluasan pesat rangkaian jualan dan servis Jetour di seluruh negara.
Menjelang Ogos 2025, sebanyak 20 pengedar sah telah beroperasi lengkap dengan perkhidmatan jualan, servis, alat ganti serta badan & cat.
Kesemua rangkaian pengedar ini menawarkan akses kepada model terbaharu Jetour, sesi perundingan peribadi, pandu uji, serta perkhidmatan penyelenggaraan oleh juruteknik yang diperakui oleh Jetour Global Academy.
Pelanggan di sekitar Lembah Klang boleh mendapatkan perkhidmatan tersebut di Bukit Jalil, Klang, Cheras, Sungai Long, Setia Alam, Kepong, Damansara, Puchong, Glenmarie, Jalan Kuching dan Ampang.
Bagi Wilayah Utara, rangkaian perkhidmatan Jetour tersedia di Ipoh, Pulau Pinang dan Alor Setar manakala Wilayah Selatan pula terdapat di Johor Bahru dan Melaka.
Menjelang akhir tahun, Jetour merancang untuk mengembangkan rangkaiannya kepada 30 pusat pengedar sah di seluruh negara.
Lokasi baharu rangkaian pengedar Jetour akan dibuka di kawasan berikut:
Lembah Klang – Petaling Jaya, Seri Kembangan, Putrajaya, Sunway, Kota Damansara, dan Kepong (cawangan kedua).
Wilayah Utara – Sungai Petani, Bayan Lepas dan Ipoh (cawangan kedua)
Wilayah Selatan – Seremban dan Melaka (cawangan kedua)
Pantai Timur – Kuantan, Temerloh, Bentong dan Kota Bharu
Malaysia Timur – Kuching, Sibu, Miri, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau
Menurut Encik Fu Yong, Ketua Pegawai Eksekutif JETOUR Malaysia, “Pertumbuhan rangkaian jualan dan servis kami di Malaysia membuktikan keyakinan serta sambutan menggalakkan daripada pelanggan tempatan terhadap JETOUR.
“Kami komited untuk menghasilkan kenderaan berkualiti tinggi serta menawarkan pengalaman pemilikan yang lancar supaya semangat pengembaraan JETOUR dapat dirasai oleh setiap pemandu di Malaysia.”
iCaur Malaysia secara rasmi membuka pusat pengedar iCaur pertama dunia yang terletak di Glenmarie dan dikendalikan oleh Absolute Motor Sdn Bhd.
Mempunyai keluasan 18,912 kaki persegi, pusat pengedar iCaur Glenmarie ini direka sebagai sebuah hab gaya hidup dengan layanan yang serba lengkap.
Antara kemudahan yang disediakan termasuklah ruang pameran yang boleh memuatkan lima kereta, ruang pelanggan lengkap dengan sambungan Wi-Fi percuma, minuman dan makanan, ruang penyerahan serta dua ruang pengecasan EV.
iCaur Glenmarie juga turut menyediakan sudut khas iCaur Arcade yang boleh dinikmati oleh pelanggan dan pengunjung.
Selain itu, iCaur Glenmarie turut menempatkan perkhidmatan selepas jualan yang menyediakan tiga ruang servis, serta ruang penyesuaian khusus.
Dengan kekuatan tenaga pekerja seramai 30 orang yang terlatih, pusat servis iCaur Glenmarie ini mampu menampung kapasiti sehingga 300 kenderaan sebulan.
iCaur Malaysia menyasarkan sehingga 18 pusat jualan dan 9 buah pusat pengedar penuh di seluruh negara menjelang pertengahan September ini.
Selain pembukaan pusat pengedaran, iCaur Malaysia dijangka akan melancarkan model pertama mereka 03 pada 9 September ini.
iCaur 03 2025 bakal ditawarkan dalam dua pilihan rangkaian kuasa, iaitu versi 2WD (184 PS/220 Nm) dengan pek bateri 65.7 kWh yang membenarkan jarak gerak 426 km, serta varian iWD dengan tetapan dua motor elektrik (279 PS/385 Nm), bateri 69.8 kWh dan jarak gerak sejauh 418 km (data NEDC).
Harga jualan iCaur 03 dianggarkan bermula RM145,000 hingga RM155,000.
Lotus Cars Malaysia mengemas kini penawaran SUV elektrik Lotus Eletre untuk pasaran Malaysia.
Sama seperti pendekatan yang dibuat pada Emeya, Lotus Eletre 2025 kini menerima nama model baharu, iaitu Eletre 600 dan Eletre 900 selari dengan strategi global pengeluar tersebut.
Terdapat lima varian yang ditawarkan, iaitu Eletre 600, Eletre 600 GT SE, Eletre 600 Sport SE, Eletre 900 Sport dan Eletre 900 Sport Carbin.
Perinciannya seperti berikut:
Lotus Eletre 600 (RM499,000)
– tetapan dua motor elektrik (603 hp, 710 Nm)
– bateri 112 kWh
– jarak gerak 580 km (data WLTP)
– suspensi udara aktif dengan Continuous Damping Control
– rim 20 inci
Lotus Eletre 600 GT SE (RM569,000)
(tambahan kepada ciri di atas)
– Parking Pack
– rim aloi 21 inci
– sistem brek angkup enam omboh
Lotus Eletre 600 Sport SE (RM649,000)
(tambahan kepada ciri di atas)
– Lotus Dynamic Handling Pack
– Spoiler belakang aktif
Lotus Eletre 900 Sport (RM769,000)
– tetapan dua motor elektrik (905 hp, 985 Nm)
– transmisi dua nisbah kelajuan
– jarak gerak 490 km (data WLTP)
– Lotus Dynamic Handling Pack
– Spoiler belakang aktif
Lotus Eletre 900 Sport Carbon (RM839,000)
(tambahan kepada ciri di atas)
– Extended Exterior Carbon Pack
Untuk ruang kabin, secara standard Lotus Eletre didatangkan dengan sistem audio premium KEF 15 pembesar suara, skrin paparan head-up 29 inci, kawalan iklim empat zon serta kemasan Jasper berserta fabrik LotusWear Performance.
Ciri lain termasuklah sistem pencahayaan ambien, plet ambang pintu bercahaya, fungsi urut dan pengudaraan, pintu tutup lembut, serta tema dalaman Quartz (bergantung kepada varian).
Menurut Reza Mutalib selaku Pengarah Eksekutif dan Pengasas Karrus Automotive Group, sehingga kini terdapat lebih 250 buah Eletre di atas jalan raya.
“Dengan pengenalan Siri 600, kami yakin angka ini akan berterusan meningkat,” ujarnya.
Kejuaraan perlumbaan simulasi Unleashed Youth Simracing Championship telah pun melabuhkan tirainya di Sunway Pyramid pada 17 Ogos yang lalu.
Pusingan akhir kejuaraan yang dianjurkan oleh Cove Circuit dan ditaja oleh Castrol Malaysia itu menyaksikan lebih 400 penyertaan dari seluruh Malaysia untuk merebut hadiah terkumpul bernilai RM30,000.
Lebih 349 peserta bertanding dalam kategori lelaki sementara kategori wanita pula memperlihatkan 93 orang pelumba yang menunjukkan peningkatan tahap minat perlumbaan simulasi di kalangan wanita.
Juara kategori lelaki membawa pulang hadiah utama bernilai RM6,000 sementara juara kategori wanita pula membawa pulang hadiah RM3,000.
Pengunjung turut dihiburkan dengan kehadiran ikon sukan permotoran Malaysia, Leona Chin, penyanyi Ismail Izzani, pencipta kandungan Taufiq Hannafi serta personaliti tempatan yang lain.
Kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif meluas Castrol yang menggabungkan keterujaan sukan permotoran dengan kempen kesedaran penjagaan enjin menerusi siri jelajah di beberapa universiti di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Selain daripada demonstrasi penggunaan minyak enjin yang tepat – seperti Castrol Edge yang dapat meningkatkan kuasa, pecutan dan ketahanan enjin, pengguna juga dapat menikmati promosi eksklusif untuk produk Castrol Edge dan Castrol Magnatec sepanjang acara berlangsung.
Tahun ini, Castrol berjaya mencuri tumpuan lebih 100,000 pengunjung Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) dengan pameran lukisan liversi Castrol pada jentera lagenda JDM Nissan Silvia S14 oleh Zameer Pentbrush, selain acara interaktif dan peluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik.
Isuzu Malaysia baru-baru ini merasmikan pembukaan Pusat 3S serba baharu yang terletak di Taman Perindustrian Alam Jaya, Puncak Alam.
Dikendalikan oleh PTM Accel Sdn Bhd, Pusat 3S ini dapat memenuhi keperluan para pelanggan yang menggunakan rangkaian kenderaan komersial Isuzu terkini termasuklah trak tugas ringan, tugas sederhana, tugas berat serta prime mover.
Dengan ruang sebesar 4,046.86 meter persegi, Pusat 3S Isuzu ini turut menyediakan kawasan bengkel besar yang terdiri daripada 30 ruang servis, serta inventori penuh alat ganti.
Terdapat beberapa ruang servis dikhaskan sebagai lorong servis pantas untuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan yang kurang rumit.
Selain daripada itu, fasiliti ini mempunyai reka bentuk yang mempamerkan identiti jenama Isuzu bermula dari bahagian depan hinggalah ke dalam kaunter penerimaan pelanggan dan ruang istirahat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi berkata, “Pembukaan Pusat 3S baharu ini merupakan satu langkah penting yang menunjukkan komitmen bersama PTC Accel dan Isuzu dalam menyampaikan inovasi dan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan kami.
“Terletak di lokasi strategik, moden dan dilengkapi, semuanya supaya pelanggan kami mempunyai akses mudah kepada rangkaian kenderaan komersial kami yang luas.
Setelah dipertontonkan buat kali pertama di Malaysia Autoshow 2025, Zeekr Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan model terbaharu 7X.
Terdapat tiga varian utama yang ditawarkan, iaitu:
RWD Standard (RM179,800)
-motor elektrik tunggal, pacuan roda belakang
-kuasa 421 PS/440 Nm
-pecutan 0-100 km/j dalam masa 6 saat
-pek bateri LFP 75 kWh
-jarak pandu 480 km (data WLTP)
RWD Long Range (RM190,800)
-spesifikasi pacuan sama seperti RWD Standard
-pek bateri 100 kWh
-jarak pandu 615 km
AWD Performance (RM226,800)
-tetapan motor elektrik berkembar, pacuan semua roda
-kuasa 646 PS/710 Nm
-pek bateri LFP 100 kWh
-jarak pandu 543 km
Dari segi dimensi, Zeekr 7X berukuran sepanjang 4,787 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,650 mm dan jarak antara roda 2,900 mm.
Bermakna, di Malaysia Zeekr 7X ini bersaing dengan model seperti BYD Sealion 7, Tesla Model Y serta Xpeng G6.
SUV Zeekr ini menggunakan tetapan double wishbone di depan, diikuti tetapan multi-link di belakang.
Dari segi pengecasan pula, Zeekr 7X menyokong pengecasan AC 22 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 450 kW (kecuali dua varian tertinggi 420 kW) yang membolehkan pengecasan 10-80 peratus sepantas 10.5 minit (16 minit untuk dua varian tertinggi).
Kelengkapan standard termasuklah rim bersaiz 19 inci, lampu LED berserta lampu nyalaan siang, manakala ruang kabin pula dilengkapi skrin kluster 13.02 inci, skrin tengah 16 inci, sokongan Apple CarPlay/Android Auto, 10 pembesar suara, serta kawalan iklim tiga zon.
Varian pertengahan mendapat tambahan ciri seperti roda stereng larasan elektrik, fungsi urut dan ventilasi untuk tempat duduk depan, skrin paparan head-up realiti terimbuh 36.21 inci, sistem audio Zeekr Sound Pro dan pengecasan telefon tanpa wayar.
Zeekr 7X AWD Performance pula dilengkapi dengan rim 20 inci, balutan tayar Michelin Pilot Sport EV, angkup brek empat omboh, sistem suspensi udara, logo Zeekr bercahaya di depan berserta fungsi Zeekr Stargate, bukaan pintu berkuasa, upholsteri kulit Nappa dan tirai belakang berkuasa elektrik.
Ciri keselamatan standard yang dibekalkan termasuklah tujuh beg udara, brek kecemasan autonomi (AEB), amaran lintasan trafik depan dan belakang (FCTA & RCTA), parkir automatik (APA), amaran pelanggaran hadapan (FCW), bantuan penukaran lorong automatik (ALC), kawalan jelajah adaptif (ACC), kamera keliling 360 darjah serta mod Sentri.
Terdapat lima warna ditawarkan iaitu Crystal White, Onyx Black, Tech Grey, Forest Green dan warna dua tona Blue/Silver. Varian AWD Performance turut ditawarkan pilihan naik taraf rim 21 inci.
Naza Eastern Motors Sdn Bhd selaku pengedar rasmi kenderaan jenama Suzuki melancarkan model hatchback Swift Sport Final Edition untuk pasaran tempatan.
Swift Sport Final Edition ini merupakan model import sepenuhnya, dan hanya ditawarkan terhad 30 unit, setiap satu dijual pada harga RM137,900.
Dari segi luaran, model ini mendapat kemasan pelekat hiasan emas pada hud enjin dan bahagian sisi, diikuti logo “Final Edition 68”, tip ekzos berkembar dan visor pintu.
Untuk ruang kabin pula terdapat kemasan ala gentian karbon pada papan pemuka, panel pintu dan konsol gear, diikuti skrin infohibur sebesar 10 inci dengan sistem audio Soundstream.
Suzuki Swift Sport Final Edition ini masih kekal dengan enjin 1.4 liter turbo Boosterjet dengan hamburan kuasa 140 PS dan 230 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.
Kelengkapan standard pula terdiri daripada rim aloi bersaiz 16 inci, lampu projektor LED, pemegang pintu belakang tersembunyi, sistem kemasukan tanpa kunci dan kamera undur.
Ciri keselamatan termasuklah enam beg udara, peringatan tali pinggang keledar, ABS, EBA, ESP, serta cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak.
BYD Sime Motors mengumumkan pelancaran model Seal 2025 yang dinaik taraf untuk pasaran tempatan.
Sedan elektrik Seal versi naik taraf ini ditawarkan dalam dua varian, iaitu varian Premium dan Performance.
Varian Premium didatangkan dengan motor elektrik pacuan belakang menghasilkan 313 PS dan 360 Nm, serta pek bateri 82.56 kWh untuk jarak pandu sejauh 650 km (data NEDC).
Sementara varian Performance pula mendapat tetapan dua motor elektrik menghasilkan output 530 PS/670 Nm, membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat.
Pek bateri berkapasiti serupa membenarkan jarak pandu sejauh 580 km.
Secara standard, BYD Seal dilengkapi tetapan suspensi jenis double wishbone di depan, dibantu dengan multi-link di belakang.
Untuk varian Premium, ia menampilkan penyerap hentak Frequency Selective Damping (FSD) untuk keseimbangan kawalan dan keselesaan, sementara varian Performance pula mendapat sistem kawalan pintar DiSus-C.
Kedua-dua varian mendapat rim aloi rekaan baharu saiz 19 inci, diikuti dengan akses tanpa kunci, tirai bumbung suria berkuasa elektrik, dan pemegang kaca mata hitam.
Sementara varian Performance pula mendapat angkup brek berwarna merah untuk penampilan yang lebih sporti.
Untuk pasaran Malaysia, BYD Seal 2025 ini ditawarkan dalam pilihan warna Aurora White, Atlantis Grey, Cosmos Black dan warna baharu Shark Grey.
Harga jualan bermula dari RM171,800 untuk varian Premium, dan RM191,800 untuk varian Performance.
300 orang pemilik terawal BYD Seal akan mendapat pakej promosi bernilai RM10,888 merangkumi pengecas dinding percuma, pakej servis dan rebat khas.
Pengumuman program CKD dan pelancaran pusat 3S terbesar
Dalam acara yang sama, BYD Malaysia mengumumkan program CKD serta perancangan untuk mendirikan kilang pemasangan baharu di Tanjung Malim.
Fasiliti seluas 600,000 meter persegi itu akan mula beroperasi pada tahun 2026.
Menurut Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik berkata, “Malaysia telah menjadi salah satu pasaran terpenting BYD di Asia Tenggara.
“Dengan sokongan kuat daripada Sime Motors, kami yakin untuk mengukuhkan kedudukan kami di Malaysia dan membawa bersama teknologi EV bertaraf dunia untuk pelanggan tempatan.
BYD Sime Motors turut merasmikan pembukaan pusat 3S BYD Balakong yang dikendalikan oleh Wing Hin Ventures Sdn Bhd.
Dengan pembukaan pusat 3S ini, BYD Malaysia kini mempunyai sebanyak 36 outlet di seluruh Malaysia.
Pusat 3S BYD yang terbesar di Malaysia ini mempunyai keluasan sekitar 3,360 meter persegi dengan dua tingkat untuk ruang pameran, 10 ruang servis, dan 1,514 meter persegi yang dikhususkan untuk perkhidmatan selepas jualan.
Ford Malaysia menerusi pengedarnya Sime Darby Auto ConneXion hari ini secara rasmi melancarkan trak pikap Ranger WildTrak baharu yang didatangkan dengan enjin bentangan V6 3.0L Turbo Diesel.
Enjin tersebut mampu menjana kuasa setinggi 250 PS @ 3,250 rpm dan daya kilas 600 Nm @ 1,750 rpm.
Transmisi pula adalah jenis automatik 10 nisbah kelajuan dan turut dilengkapi dengan enam mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sand.
Antara kelengkapan yang wujud pada varian baharu ini termasuklah unit lampu LED Matriks, lampu nyalaan siang, roda aloi 20 inci, tayar bersaiz 255/55 R20, logo V6 unik, lampu lumpur, serta tayar ganti saiz penuh.
Masuk ke dalam ruang kabin, terdapat kluster digital 8 inci, skrin tengah 12 inci SYNC 4A yang lengkap dengan Apple CarPlay/Android Auto, slot USB khas untuk pemasangan kamera perakam pemanduan, serta pengecas peranti pintar tanpa wayar.
Ciri keselamatan pula termasuklah Sistem Pengesanan Titik Buta (BLIS), Amaran Keluar Lorong, Bantuan Kekal Lorong, Kawalan Jelajah Adaptif dengan fungsi Berhenti & Bergerak, Panduan Tengah Lorong, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Brek Pasca-Pelanggaran.
Terdapat empat warna menarik iaitu Arctic White, Absolute Black, Luxe Yellow, dan Meteor Grey.
Harga jualan pula bermula dari RM192,888 atas jalan tidak termasuk insurans.
Untuk tempoh terhad, pelanggan awal akan dapat menikmati Pakej Servis Lanjutan 2-tahun dan beg pendingin edisi terhad.
Pelanggan yang membuat tempahan dalam talian akan menerima kerusi perkhemahan eksklusif Ford.
Selain model Jaecoo J5, Omoda | Jaecoo Malaysia bakal melancarkan sebuah lagi model SUV, iaitu Omoda C9 varian plug-in hybrid (PHEV) tahun ini.
Jika varian bukan hibrid didatangkan dengan enjin 2.0L turbo (261 PS/400 Nm), varian PHEV pula didatangkan dengan nadi 1.5 liter yang dipadankan dengan tiga motor elektrik.
Kuasa keseluruhan mencecah 605 PS dan daya kilas 915 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat.
Dengan gandingan transmisi hibrid DHT tiga-kelajuan, Omoda C9 PHEV mencatatkan kadar penggunaan bahan api serendah 1.7 liter/100 km.
Pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 34.46 kWh pula menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 150 km, dan jarak pemanduan keseluruhan yang mampu mencecah 1,100 km.
Ia turut menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 70 kW.
Sama seperti model C9 ICE, C9 PHEV juga dilengkapi dengan tetapan suspensi topang MacPherson dan Multi-link, serta sistem Kawalan Redaman Berterusan (CDC) yang boleh melaras tindak balas suspensi sehingga 100 kali sesaat.
Terdapat sehingga tujuh mod pemanduan untuk disesuaikan dengan keadaan pemanduan semasa.
Harga jualan bagi Omoda C9 PHEV dianggarkan sekitar RM220,000.
Untuk makluman, Omoda C9 varian biasa dijual pada harga bermula RM168,000 untuk versi 2WD, dan RM188,000 untuk versi pacuan semua roda (AWD).
Bersempena dengan penganjuran Karnival Omoda | Jaecoo di Desa ParkCity, Omoda | Jaecoo Malaysia turut mempamerkan secara rasmi model baharu Jaecoo J5 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Sebagai sebuah SUV segmen B, Jaecoo J5 bakal diposisikan sebagai alternatif yang lebih kecil kepada SUV Jaecoo J7 sedia ada.
Lima fakta ringkas berkenaan Jaecoo J5 yang perlu anda tahu:
1. Dimensi
Jaecoo J5 berukuran 4,380 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,650 mm dan menawarkan jarak antara roda 2,620 mm.
Antara pesaing di dalam kategori SUV segmen B, J5 memiliki panjang yang sama dengan Proton X50, dan pendek sedikit berbanding Chery Omoda 5, Chery Tiggo Cross dan Honda HR-V.
Namun, J5 memiliki kelebihan dari segi jarak antara roda yang lebih panjang, menyumbang kepada kabin yang lebih lapang.
Selain itu, ruang kargo J5 adalah sebesar 480 liter, dan mampu mencapai kapasiti 1,180 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat dengan nisbah 60:40.
2. Enjin
J5 dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo yang mampu menjana 147 PS dan 210 Nm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT. Kadar bacaan penggunaan bahan api pula adalah sekitar 7.5 liter/100 km.
3. Casis
Unik di dalam segmennya, Jaecoo J5 menawarkan tetapan suspensi topang MacPherson untuk gandar depan, dan tetapan multi-link di belakang.
Sebagai perbandingan, rata-rata model pesaing SUV segmen B dilengkapi dengan tetapan torsion beam yang lebih ringkas.
4. Luaran
Sama seperti model Jaecoo yang lain, J5 membawakan penampilan luar premium yang diilhamkan daripada jenama SUV Britain.
Keempat-empat sudut dilengkapi dengan rim 18 inci serta balutan tayar 235/55 R18 untuk imej yang lebih bergaya.
Ciri lain termasuklah lampu utama berserta lampu nyalaan siang dalam perumah tunggal, struktur jeriji yang agak besar, pemegang pintu konvensional, serta spoiler di bahagian belakang.
5. Dalaman
Bahagian kabin J5 didatangkan dengan kelengkapan seperti skrin kluster LCD 8 inci, skrin tengah 13.2 inci resolusi 2K dengan sokongan WiFi, Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio 8-pembesar suara.
J5 juga menggunakan bahan kemasan mesra haiwan peliharaan yang mendapat pensijilan TUV, tidak ketinggalan ciri ADAS Tahap 2.5 dan sistem kamera keliling 540 darjah.
Bakal dilancarkan tidak lama lagi, Jaecoo J5 dianggarkan berharga sekitar RM120,000.
Mampukah model baharu Jaecoo ini memberikan saingan kepada model-model SUV sub-kompak yang lain?
Petron Malaysia meneruskan kerjasama untuk tahun kedua dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi program Jelajah Aspirasi Malaysia 2025.
Program ini berlangsung dari 16 Ogos hingga 13 September 2025 bersempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
Pelbagai aktiviti dan pengisian khusus bertujuan untuk memupuk perpaduan nasional melalui interaksi secara langsung bersama masyarakat di lokasi-lokasi terpilih di semua negeri.
Ia turut mendapat kerjasama daripada pengusaha-pengusaha stesen minyak Petron, warga kerja, serta rakan dari sektor awam dan swasta.
Menurut Shaliza Mohd Sidek selaku Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia berkata, “Petron berhasrat menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan dengan rakyat Malaysia pada bulan Ogos dan September, yang meraikan dua perayaan nasional penting: Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Kami berharap para peserta mendapat manfaat daripada aktiviti yang disokong melalui sumbangan wang tunai dan barangan daripada rangkaian pengusaha stesen minyak kami.”
Berikut merupakan sorotan program Jelajah Aspirasi Malaysia 2025:
16 Ogos – Pelancaran rasmi dengan acara Historace di Gua Kelam, Perlis oleh Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah RTM dan Shaliza Mohd Sidek, Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia. 18 Ogos – Program lukisan mural di lapan buah sekolah terpilih 20 Ogos – Sumbangan kepada komuniti nelayan yang terjejas akibat kebakaran. Petron juga bekerjasama dengan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk menaja pembukaa akaun simpanan bagi pelajar sekolah. 26 Ogos – Kerjasama dengan Persatuan Kanak-Kanak Autisme dengan mengadakan bengkel kraftangan, di mana hasil jualan dakan digunakan untuk dana aktiviti persatuan. 27 Ogos – Inisiatif Tourism Malaysia sempena Hari Pelancongan Sedunia yang akan berlangsung pada 27 September 2025. Juga promosi kraftangan serta makanan tradisional di stesen minyak Petron terpilih di bawah program ‘Sapot Lokal’. 13 September – Sumbangan sistem tadahan air, lampu solar dan penambahbaikan dewan komuniti di Kampung Brantian, Tawau. Pengusaha stesen Petron Sabah akan sumbangkan TV, alat tulis serta papan putih digital kepada SK Brantian.
Petron juga akan menyertai inisiatif pengumpulan penutup botol plastik bagi program kitar semula di bawah Jelajah Aspirasi Malaysia 2025.
Bersempena dengan bulan kemerdekaan, Petron mengadakan kempen ‘Petron Hypermarket Sweep’ dan ‘Petron Pasti OK Mini Sweep’ di kedai Treats untuk menghargai pelanggan setia.
Zeekr Malaysia baru-baru ini merasmikan pembukaan bilik pameran Zeekr Center KLCC sebagai sebuah hab bagi mobiliti premium serba baharu di Kuala Lumpur.
Terletak secara strategik di dalam kawasan Segi Tiga Emas, Zeekr Center KLCC ini merupakan outlet kedua yang dikendalikan oleh pengedar sah Preeminent Auto Sdn Bhd selepas Zeekr Center IOI Mall Puchong.
Dengan keluasan 4,800 kaki persegi, Zeekr Center KLCC ini mampu memuatkan lima buah kenderaan pameran, serta lengkap dengan tiga unit pengecasan AC.
Serentak dengan pembukaan fasiliti tersebut, Zeekr Malaysia turut mengumumkan harga jualan rasmi bagi model Zeekr 009 varian asas Executive bermula dari RM299,800 (atas jalan tanpa insurans).
Tidak seperti penawaran terdahulu, Zeekr 009 Executive hadir dengan tetapan motor elektrik tunggal pacuan roda depan, serta jarak gerak sejauh 604 km untuk sekali cas penuh.
Ia merupakan satu pilihan alternatif bagi mereka yang kerap melakukan perjalanan jauh tanpa berkompromi aspek keselesaan dan teknologi.
Setiap pembelian Zeekr 009 Executive akan disertakan dengan pakej berikut:
– jaminan kenderaan selama lima tahun atau had perbatuan 150,00 km
– jaminan bateri 8-tahun/had perbatuan 160,000 km
– akses satu tahun percuma untuk Zeekr App, sistem navigasi dan kemas kini over-the-air (OTA)
Selain itu, pemilik Zeekr 009 akan mendapat pakej pengecasan dinding 11 kW, pengecas mudah alih, serta filem penapis solar secara percuma.
Yadea Malaysia mengumumkan ketibaan sebuah lagi skuter elektrik untuk pasaran tempatan, iaitu Yadea RS20 2025 bersempena pelancaran Mforce SmartShop di Banting, tempoh hari.
Skuter elektrik RS20 ini dijual pada harga dari RM4,998 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), dan layak untuk rebat MARiiCas.
Yadea RS20 boleh didapati dalam tiga pilihan warna, iaitu Khaki Grey, Roman Grey dan Grey.
Motor elektrik tunggal mampu menjana kuasa 3.29 hp dengan daya kilas maksimum 107 Nm, dengan keupayaan mendaki sudut curam 13 darjah dan boleh mencapai kelajuan maksimum 51 km/j.
Bateri Graphene 72V 22Ah menyokong jarak tunggangan sejauh 105 km untuk sekali cas penuh, selain boleh dicas penuh 0-100 peratus dalam tempoh lapan jam.
Sistem suspensi skuter ini menggunakan fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar di belakang, sementara brek pula menggunakan gandingan cakera dan dram yang dibantu dengan sistem CBS untuk hentian yang lebih stabil.
Ciri lain termasuklah sistem lampu LED, rim 12 inci, paparan meter digital, port pengecasan USB Type-A, fungsi gear undur, dua mod tunggangan (Sport/Eco), ruang simpanan depan dan bawah pelana, rak barangan di belakang, serta tiga kaedah kunci (mekanikal, kawalan jauh serta aplikasi Yadea).
Berat keseluruhan skuter elektrik ini cuma 114 kg (dengan bateri) sementara tinggi pelana pula sekitar 765 mm.
Pasaran motosikal segmen 250 cc di Malaysia kini dimeriahkan lagi dengan kehadiran jentera baharu QJMotor SRK250R 2025.
Dilancarkan bersempena dengan pembukaan Mforce Smart Shop W H S Motor Sdn Bhd di Banting, QJMotor SRK250R ini ditawarkan pada harga istimewa RM9,988 untuk 1,000 orang pemilik pertama.
Dari segi kuasa, SRK250R dijana dengan enjin silinder tunggal 249 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 27.5 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 7,250 rpm.
Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan, klac basah berbilang plat, serta sistem pacuan akhir rantai.
QJMotor SRK250R menampilkan fork teleskopik hadapan jenis terbalik (USD), diikuti penyerap hentak tunggal boleh laras di belakang.
Sistem brek terdiri daripada rotor bersaiz 300 mm di depan, dibantu dengan rotor 240 mm belakang dan sistem ABS dua saluran.
Antara kelengkapan lain termasuklah sistem pencahayaan LED penuh depan belakang, rim bersaiz 17 inci, slot pengecasan USB Type-A dan Type-C, tangki bahan api 12.5 liter dan tinggi pelana 780 mm.
Skrin paparan digital berwarna penuh turut menyokong sambungan kepada peranti pintar menggunakan teknologi Bluetooth.
Kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) milik Proton di Tanjung Malim kini hampir siap sepenuhnya dan bakal beroperasi pada bulan September ini.
Dalam tempoh enam bulan selepas upacara pecah tanah pada Februari lepas, pembinaan fasiliti ini telah mencapai 90.4 peratus diikuti pemasangan peralatan pada 83.5 peratus, menjadikan kemajuan keseluruhan projek pada 86.9 peratus.
Kilang ini akan digunakan untuk pemasangan pelbagai model daripada platform Global Modular Architecture (GMA), dimulakan dengan Proton e.MAS 7 dan disusuli dengan e.MAS 5.
Dengan kapasiti pengeluaran permulaan sebanyak 20,000 unit setahun, kilang ini juga boleh menampung penambahan kapasiti sehingga 45,000 unit sejajar dengan pertumbuhan permintaan di dalam dan luar negara.
Untuk itu, setiap barisan pengeluaran boleh ditambah beberapa stesen dengan barisan penguji modular yang mampu menampung variasi platform atau pengeluaran pelbagai model.
Aspek logistik, utiliti, sistem storan dan alat kebolehkesanan digital turut dioptimumkan bagi menyokong peningkatan skala bagi pelbagai model untuk pasaran tempatan dan eksport.
Berbeza dengan kilang sedia ada, fasiliti pengeluaran EV ini mempunyai susun atur baharu khusus untuk pemasangan bateri, langkah keselamatan voltan tinggi serta proses ujian elektrik.
Proton turut melatih 30 pekerja bukan eksekutif dengan latar belakang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan diploma sebelum pengeluaran berskala penuh bermula pada September ini.
Fasiliti kilang EV ini dijangka mampu menjana lebih 200 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti tempatan, terutama dalam bidang industrialisasi EV dan perkhidmatan teknikal.
Proton juga menjalin kerjasama strategik dengan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) untuk memperkukuh bakat tempatan, di mana Proton menyumbang input silibus teknikal dan menyokong inisiatif latihan amali.
Geely selaku rakan kongsi Proton menyediakan panduan teknikal mengenai sistem pengeluaran, membantu pemilihan peralatan dan menempatkan pakar untuk membantu pemasangan dan ujian percubaan.
Selain itu, Geely juga memudahkan latihan luar negara untuk kakitangan Proton dan memastikan fasiliti baharu itu selari dengan piawaian pembuatan EV global.
Menurut Wan Yousry bin Mohamed, Ketua Kejuruteraan Pembuatan di PROTON, “Kilang ini melambangkan transformasi PROTON dan komitmen tidak berbelah bahagi kami terhadap masa depan yang mampan dan berteknologi tinggi.
“Kami juga meletakkan asas bagi kepimpinan Malaysia dalam landskap EV serantau dengan meluaskan penawaran EV kami secara strategik ke pasaran luar negara yang baharu. Ini adalah langkah monumental untuk syarikat dan negara, dan kami teruja untuk melihat EV buatan Malaysia yang pertama meluncur keluar dari barisan pengeluaran dan ke jalan raya kita,” ujarnya lagi.