Mercedes-AMG GLA35 4Matic 2024 terima rupa baru, MBUX terkini, RM364k

SELAIN C43 dan A35, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) juga melancarkan satu lagi model iaitu Merc-AMG GLA35 4Matic yang juga hadir sebagai CKD (dipasang tempatan).

Seperti pada namanya, Mercedes-AMG GLA35 4Matic merupakan varian GLA paling berkuasa untuk pasaran Malaysia, di atas GLA200 dan GLA250 AMG Line.

Untuk AMG GLA35, ia mendapat enjin 2.0-liter 4-silinder turbo yang menghasilkan 306hp dan 400Nm. Ia juga digandingkan dengan sistem mild-hybrid 48-volt, dan mampu memecut ke 100km/j dalam masa 5.2 saat.

Prestasi ini dicapai dengan bantuak kotak gear automatik dwi-klac 8-kelajuan AMG Speedshift dan sistem pacuan semua-roda 4Matic. Terdapat juga lima mod pemanduan dari menu AMG Dynamic Select.

Kelengkapan standard luaran termasuklah gril AMG dengan apron baharu, grafik lampu depan dan belakang baharu, sistem lampu LED Multibeam dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, rim AMG 20-inci 5-bilah, dan kaliper brek berwarna merah.

Sebagai sebuah SUV keluarga (walaupun berprestasi), GLA35 dilengkapi dengan sistem penghawa dingin Thermotronic, lampu ambien 64 warna, tempat duduk sports balutan kulit, Keyless-Go, Easy-Pack, Hands-Free, dan kemasan Carbon-structure serta tali pinggang Manufaktur berwarna merah.

Ciri dari segi teknologi pula terdiri dari sistem MBUX terkini, paparan menu AMG, sambungan Apple Carplay dan Android Auto tanpa-wayar, Augmented Reality Navigation, dan sistem audio Burmester 710 watt.

Mercedes-AMG GLA35 4Matic 2024 boleh menjadi milik anda dengan harga RM363,888.

Baca juga: Pandu uji Mercedes-AMG GLA35 4Matic

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *