fbpx

BMW Malaysia lancar X7 xDrive40i M Sport – RM729k

02. BMW X7 xDrive40i M Sport – Arctic Grey Brilliant Effect

DILANCARKAN ke pasaran Malaysia buat pertama kali pada Mei tahun lalu, BMW X7 xDrive40i versi pemasangan tempatan kini boleh didapati dalam varian M Sport baharu yang dikatakan lebih dinamik dan agresif.

SUV saiz penuh yang diberi jolokan ‘The President’ itu tampil dengan pakej M Aerodynamics sebagai ciri standard, trim aluminium Individual serta rim 758 M Alloy bersaiz 22 inci. Tersembunyi di sebalik rim itu adalah sistem brek M Sport.

Selain itu, varian ini juga didatangkan dengan BMW Laserlight dan bumbung kaca panorama. Terdapat lima warna yang ditawarkan iaitu Black Sapphire, Mineral White, Manhattan Metallic serta warna eksklusif Arctic Grey Brilliant Effect.

Masuk ke bahagian dalam, anda akan menemui aneka komponen yang diperbuat daripada kaca pada konsol tengah, sistem bunyi keliling Harman Kardon dan sistem infohibur BMW Live Cockpit Professional.

Ruang ini dihiasi dengan trim kayu halus berwarna hitam, stereng M Sport yang dibalut kulot dan upholsteri kulit tulan Vernasca yang boleh didapati dalam tiga warna iaitu Vernasca Cognac, Vernasca Coffee dan Vernasca Black.

X7 xDrive40i M Sport dipacu oleh ‘nadi’ 3.0-liter enam silinder sebaris dengan pengecas turbo berkembar yang mampu menghasilkan 340 PS dari 5,500 hingga 6,500 rpm dan 450 Nm dari 1,500 hingga 5,200 rpm.

Kuasa disalurkan ke roda oleh transmisi automatik sport lapan kelajuan menerusi sistem pacuan semua roda xDrive. Di samping itu, ia juga dilengkapi dengan Executive Drive Pro dan Integral Active Steering.

Sistem keselamatan pula merangkumi  fungsi Bantuan Memandu dengan Kawalan Luncur Aktif dan fungsi Mula & Henti, di samping Parking Assistant Plus yang didatangkan bersama seunit kamera 360 darjah.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) termasuk pakej servis dan pembaikan bermula dari RM728,800. Dengan ‘Easy Drive Financing Plan’, X7 xDrive40i M Sport boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan bermula RM8,800 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80 peratus bagi tempoh lima tahun).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved