Pelanggan bertuah Pavilion KL menang Isuzu D-Max X-Terrain

Membeli-belah di Pavilion Kuala Lumpur bertukar menjadi pengalaman yang menguntungkan bagi Zhang Ying Xuan selepas beliau diumumkan sebagai pemenang sebuah Isuzu D-Max X-Terrain melalui peraduan beli dan menang yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-11 Tokyo Street.

Disebabkan tempat kerja yang terletak sangat berdekatan dari pusat membeli-belah berkenaan, Zhang kerap membeli-belah di situ. Dengan menghantar sebanyak lima penyertaan peraduan berserta resit bernilai RM300 ketika tempoh peraduan itu berlangsung, beliau telah dipilih sebagai pemenang trak pikap bernilai lebih RM150,000 itu.

“Saya sangat teruja ketika dimaklumkan sebagai pemenang hadiah utama itu. Sebelum ini, saya hanya pernah memenangi hadiah kecil sahaja dan tak pernah membayangkan akan menerima hadiah sebesar ini dengan nilai yang tinggi. Ia sebuah trak pikap yang ranggi dengan penampilan menawan, dan saya berterima kasih kepada Pavilion dan Isuzu untuk ini,” jelas Zhang ketika menerima trak pikap dalam warna Silky Pearl White miliknya.

Penyerahan kunci D-Max X-Terrain kepada beliau dilakukan oleh Pengarah Pemasaran, Pavilion REIT Malls, Kung Suan Ai bersama Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercakap ketika majlis penyerahan itu, Sogo mengucapkan tahniah kepada Zhang atas kemenangan beliau membawa pulang trak pikap yang paling diinginkan di Malaysia ketika ini.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada Zhang kerana memenangi hadiah utama berupa sebuah Isuzu D-Max X-Terrain. Isuzu D-Max itu sendiri adalah gabungan kemenangan antara gaya, kemewahan, keselamatan serta kepelbagaian, dan saya sangat pasti ia akan menemani anda dalam banyak perjalanan yang bakal diingati,” ujar Sogo.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *