fbpx

Mazda MX-30 dipertonton di Malaysia, 35.5kWh dengan jarak pemanduan 210km

mazda mx-30 preview 03

BERMAZ Motor, pengedar rasmi kenderaan Mazda di Malaysia, telah mempertontonkan kenderaan elektrik pertama jenama itu iaitu MX-30 di Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Bermaz, MX-30 akan memasuki pasaran tempatan pada suku keempat tahun ini, namun tarikh sebenar pelancarannya masih belum diumumkan. Harga yang disasarkan adalah bawah RM200,000.

Diperkenalkan di peringkat global pada 2019 di Tokyo Motor Show, MX-30 menampilkan trenkuasa elektrik e-Skyactiv yang merangkumi sebuah motor elektrik pada gandar hadapan serta pek bateri berkapasiti 35.5kWh.

Gandingan ini menghasilkan kuasa sebanyak 145PS (107kW) dan 271Nm yang membolehkan MX-30 memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 9.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 140km/j.

Sementara itu, jarak pemanduan pula adalah sekitar 210 km dengan satu cas penuh. Untuk perbandingan, jarak pemanduan Hyundai Kona Electric adalah dari 305km hingga 484km, manakala Hyundai Ioniq 5 pula dari 384km hingga 430km.

Pengecasan penuh mengambil masa kira-kira lima jam dengan menggunakan pengecas Wallbox berkapasiti 6.6kW atau 12 jam dengan soket domestik di kediaman.

MX-30 turut menyokong pengecasan pantas DC yang boleh melakukan pengecasan dari 0 hingga 80 peratus dilakukan dalam hanya 36 minit.

Dibina menggunakan platform Skyactiv-Vehicle Architecture yang sama dengan CX-30, MX-30 mempunyai rekaan yang agak unik berbanding crossover Mazda yang lain terutamanya jika dilihat dari bahagian tepi di mana ia mempunyai pintu ‘suicide’ seperti RX-8.

Susun atur ruang kabinnya dilihat tidak jauh berbeza dengan CX-30 dan Mazda3 namun MX-30 didatangkan dengan skrin sentuh tambahan pada konsol tengah untuk kawalan sistem pendingin hawa.

Untuk sistem keselamatan pula, terdapat tujuh beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Traction Control, Dynamic Stability Control serta beberapa ciri aktif seperti Smart Brake Support.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved