Kelihatan sebuah kenderaan ditenggelami banjir dalam insiden tahun lalu. - Foto ihsan Malay Mail

Banjir: Tiada caj upah buruh, PM minta lebih ramai contohi Perodua

NASIB serta rintihan mangsa banjir terus mendapat perhatian syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).

Terbaharu, Perodua bersetuju tidak mengenakan bayaran upah buruh kepada mangsa banjir yang menghantar kenderaan mereka ke pusat servis syarikat itu.

Perkara tersebut diumum Perdana Menteri semalam ketika mengadakan lawatan ke Hulu Langat, Selangor yang sebelum ini terjejas teruk akibat banjir.

Jelas Datuk Seri Ismail Sabri, komitmen ditunjukkan Perodua adalah hasil perbincangan dengan kerajaan selain tidak menolak lebih banyak rundingan akan berlaku dengan syarikat lain dalam waktu terdekat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto fail ihsan Malay Mail

“Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan berunding lagi dengan syarikat-syarikat kereta yang lain seperti Proton.

“Saya harap syarikat-syarikat lain boleh mengikut apa yang dilakukan oleh Perodua,” katanya.

Daerah Hulu Langat antara yang terjejas teruk akibat banjir besar pada minggu lalu.

Banjir turut melanda beberapa kawasan lain seperti Shah Alam, Klang dan sebahagian negeri lain termasuk Pahang serta Negeri Sembilan.

Ia menyebabkan banyak harta benda mengalami kerosakan termasuk kenderaan penduduk yang tidak sempat diselamatkan.

Sementara itu, Perodua turut menawarkan servis menunda kenderaan secara percuma kepada mangsa banjir.

Sebelum ini, Perodua mengumukan menawarkan bantuan serta rebat bagi perkhidmatan tunda kenderaan.

Bagaimanapun, Perodua mengubah tawaran mereka dengan memberikan servis tunda percuma kepada mereka yang layak.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *