fbpx

Land Rover Defender 110 bakal mendarat 21 Oktober nanti, dibuka untuk tempahan

land rover defender launch 06

PENANTIAN bakal berakhir bagi mereka yang menunggu Land Rover Defender, kerana kenderaan ikonik serba baharu itu akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 21 Oktober depan.

Pelancaran itu akan dibuat melalui livestream di laman Facebook Land Rover Malaysia di https://www.facebook.com/landrovermalaysia.

Pada Ogos lepas, kami ada melaporkan beberapa unit Land Rover Defender ini dilihat sedang diuji di jalan raya sekitar Petaling Jaya.

Land Rover Defender baharu ini merupakan rombakan sepenuhnya dari generasi terdahulu. Tiada lagi casis ladder-frame, sebaliknya ia dibina menggunakan casis monocoque aluminium D7x, tetapi mengekalkan ciri rugged dan bersegi sebuah kenderaan kembara. Pada masa yang sama, Defender baharu menawarkan teknologi dan fungsi praktikal untuk kegunaan seharian di bandar.

Casis D7x ini bukan sahaja mengekalkan keupayaannya di off-road, tetapi juga memberikan Defender kabin lebih luas dan pengendalian yang lebih mantap.

Defender baharu ini juga akan dilengkapi dengan ciri seperti:

1. 3D Surround Camera dan ClearSight Ground View – memberikan pandangan 360-darjah untuk mudah dikemudi di laluan sukar dan sempit.
2. Adaptive Dynamics dengan Electronic Air Suspension – sistem suspensi canggih yang memberikan keselesaan dan kawalan badan optima.
3. Wade Program – membolehkan kenderaan mengharungi air dengan kedalaman sehingga 900mm.
4. Sistem infotainmen Pivi Pro – unit hiburan canggih dengan Meridian Sound System.

Defender 110 akan ditawarkan dengan beberapa pakej enjin. P300 mendapat unit 2.0-liter turbo yang menjana 296hp dan 400Nm tork.

Sementara itu P400 MHEV menampilkan enjin Ingenium 3.0-liter turbo 6-silinder menghasilkan 395hp dan 500Nm. MHEV menunjukkan ia model mild hybrid dengan sistem elektrik 48-volt dan motor penghidup elektrik.

Kotak gear ialah automatik 8-kelajuan ZF untuk kedua-dua jenis enjin, dengan dua transfer case untuk sistem pacuan empat roda. Defender juga dilengkapi dengan pilihan pengunci differential tengah dan belakang yang boleh dikawal dengan ciri Terrain Response.

Mereka yang berminat dengan jentera ikonik ini bolehlah membuat tempahan di www.landrover.com.my.

Tiada maklumat harga, tetapi Defender akan hadir dengan jaminan lima-tahun dan servis percuma. Nantikan laporan kami selepas pelancaran nanti.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved