Polis Daerah Papar melakukan sekatan jalan raya (SJR) dalam usaha membasmi kes jenayah selain memantau pematuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. - Foto ihsan Facebook/Polis Daerah Papar

Sabah masih Fasa 2 PPN, belum boleh rentas daerah

NEGERI Sabah masih tertakluk dengan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ia sekaligus menyaksikan penduduk negeri itu belum lagi dibenarkan melakukan pergerakan rentas daerah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, pergerakan rentas daerah hanya dibenarkan untuk tujuan kecemasan dan lain-lain urusan penting.

“Pergerakan rentas daerah masih tidak dibenarkan kecuali dengan tujuan antaranya kecemasan, pekerjaan dengan surat majikan, janji temu vaksin, perkhidmatan perlu, pasangan jarak jauh dan ibu bapa melawat anak bawah 18 tahun,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial bahawa pergerakan rentas daerah telah dibenarkan di Sabah.

Semakan mendapati, dakwaan itu adalah notis lama dikeluarkan pada tahun lepas.

Terdahulu, Idris menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan berita tidak sahih atau palsu.

Ini kerana jika didapati bersalah boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dengan denda maksimum RM50,000 serta penjara setahun.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *