Siasatan masih diteruskan terhadap insiden menimpa helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) jenis AS 555 SN Fennec. - Foto ihsan Facebook/Navy The Best

TLDM siasat insiden helikopter mendarat cemas

EMPAT anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berdepan situasi cemas selepas helikopter dinaiki mengalami masalah teknikal.

Situasi menyebabkan helikopter itu terpaksa membuat pendaratan cemas ketika menjalankan penerbangan operasi di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 12 tengah hari tadi.

Markas Pemerintahan Armada Barat mengesahkan kejadian selain memaklumkan pihak TLDM akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung perkara itu.

“Insiden juga tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada orang awam dan kawasan insiden terkawal,” memetik kenyataan dikeluarkan.

Terdahulu, empat anggota TLDM berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk pemeriksaan lanjut.

Difahamkan, terdapat empat anggota termasuk seorang juruterbang berada dalam helikopter jenis AS 555 SN Fennec.

Bagaimanapun, insiden tidak melibatkan sebarang kecederaan orang awam.

Pemerhatian di media sosial mendapati insiden tersebut turut sempat dirakam orang awam dan tular di media sosial.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *