Penganjur Cub Prix Malaysia 2021, Safe Aim Mutual Sdn Bhd memohon maaf di atas segala kesulitan dialami semua pihak

PKP: Pusingan ketiga Cub Prix Malaysia di Litar Tangkak ditangguh

PEMINAT Kejuaraan Cub Prix Malaysia mungkin sedikit kecewa apabila perlumbaan pusingan ketiga pada 22 dan 23 Mei ini terpaksa ditangguhkan.

Keputusan diambil selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara sehingga 7 Jun depan.

Setakat ini, pihak penganjur masih belum menetapkan tarikh baharu bagi pusingan ketiga perlumbaan itu.

“Kalendar baharu bagi musim 2021 akan diumum dalam masa terdekat.

“Pihak penganjur meminta maaf kepada semua warga Cub Prix di atas kesulitan yang mungkin dialami,” memetik kenyataan penganjur, Safe Aim Mutual Sdn Bhd.

Pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 dijadual berlangsung di Litar Tangkak, Johor.

Pada pusingan kedua, pelumba Nazirul Izzat Mohd Bahauddin dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor berjaya menaiki podium di tempat pertama.

Ia merupakan kemenangan pertama Nazirul sejak 2019 selepas terpaksa berehat selama enam bulan akibat mengalami kecederaan tangan.

Sementara itu, perlumbaan akhir CP125 dimenangi Mohd Adib Rosley dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team.

Bagi kategori Wira KBS, pelumba Petronas Sprinta Yamaha–31 Racing Mohd Aqil Danial Nasrul berjaya merangkul tempat pertama.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *