Ducati untung RM283 juta, catat jualan 59,447 unit bagi 2021

DUCATI menutup tahun kewangan 2021 dengan mencatatkan jumlah jualan, hasil dan keuntungan operasi yang terbaik dalam sejarah sejak ia beroperasi.

Bagi tahun 2021, Ducati telah mencatatkan jualan sebanyak 59,447 buah motosikal ke seluruh dunia. Ini  merupakan peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding tahun 2020 dengan jualan sebanyak 48,042 unit.

Jumlah jualan tersebut telah memberikan hasil sebanyak 878 juta Euro (RM4.07 bilion) bagi tahun 2021. Ini telah menyumbang peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding hasil pada tahun 2020 iaitu 676 juta Euro (RM3.14 bilion).

Dalam masa sama, Ducati juga telah mencatatkan keuntungan operasi untuk tahun 2021 sebanyak 61 juta Euro (RM283.15 juta). Ini merupakan peningkatan 154 peratus berbanding tahun 2020 iaitu 24 juta Euro (RM111.40 juta).

Menurut Ducati, segala hasil dan keuntungan yang dicatatkan ini dicapai meskipun mereka berdepan dengan krisis bekalan dan kekurangan komponen.

Pada tahun 2021 juga, Ducati telah menambah sebanyak 84 buah pengedar baharu. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengedar rasmi Ducati sebanyak 790 buah di lebih 90 buah negara.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *