fbpx

Kenali Antonov An-225 Mriya: Pesawat kargo terbesar dunia

Antonov An-225 12

Sejarah

Antonov An-225 Mriya memulakan penerbangan pertamanya pada Disember 1988. Tujuan asal pesawat ini dibina oleh Kesatuan Soviet adalah untuk membawa kapal angkasa ‘Buran’ serta komponennya dari kilang pembuatannya ke tapak pelancaran di Baikonur, Kazakhstan.

Tugas ini berterusan sehinggalah kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991.

Setelah itu, pesawat ini telah dibiarkan tersadai di Kyiv, Ukraine selama bertahun-tahun sebelum dibaik pulih semula pada tahun 2001.

Enjin

An-225 Mriya mempunyai enam unit enjin jenis turbofan Progress D-18T. Setiap satu enjin ini mempunyai berat 4.1 tan dan menghasilkan kuasa ketika berlepas sebanyak 229.8kN. Sebagai perbandingan, pesawat penumpang terbesar dunia Airbus A380 hanya mempunyai empat buah enjin sahaja.

Rekod muatan

Meskipun memegang rekod sebagai pesawat kargo terbesar dunia, pesawat ini mampu beroperasi pada kelajuan 850km/j dengan jarak sejauh 15,400km untuk setiap isian penuh bahan api.

AN-225 ini mampu membawa muatan sebanyak 250 tan pada satu-satu masa. Rekod dunia pernah dicatat dengan menerbangkan lima buah kereta perisai milik tentera Ukraine dengan berat muatan sebanyak 253 tan.

Proses pemunggahan bilah kincir angin. Kredit: Antonov Company

Selain itu, pesawat ini juga pernah mencatat rekod menerbangkan kargo terpanjang dunia iaitu dua bilah turbin angin sepanjang 43 meter dari Tianjin, China ke Lunderskov, Denmark sejauh 7480km selama 12 jam penerbangan.

Kos

Kos untuk menerbangkan kargo menggunakan Antonov An-225 Mriya adalah sekitar $60,000 bersamaan RM251,581 bagi tempoh sejam penerbangan. Ini bermakna kos yang dibayar untuk menerbangkan turbin angin ini adalah sekitar S720,000 bersamaan RM3.02 juta.

Teknologi Soviet

Antonov An-225 perlu dikendalikan oleh enam orang krew penerbangan pada satu-satu masa iaitu dua orang juruterbang, dua orang jurutera penerbangan, seorang krew navigasi serta seorang operator radio.

Ini kerana pesawat ini masih menggunakan teknologi avionik dan kokpit sejak dari zaman Kesatuan Soviet lagi. Ini jauh berbeza dengan teknologi penerbangan glass cockpit masa kini yang hanya memerlukan dua orang krew sahaja pada satu-satu masa.

Keunikan

Gear pendaratan pada pesawat ini juga unik. Ia mempunyai 32 roda keseluruhan dengan empat di bahagian hadapan dan baki 28 lagi terletak di bahagian bawah fiuslaj.

Satu lagi kelebihan pada gear pendaratan hadapan adalah mekanismanya yang membenarkan pesawat berada dalam posisi ‘melutut’ ketika proses memunggah kargo.

Kemunculan di Malaysia

Antonov An-225 pernah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2007, 2016 dan 2018.

Kali pertama pada tahun 2007, pesawat ini membawa lima buah helikopter untuk Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA). Pada 2016 dan 2018 pula, pesawat ini membuat pendaratan di KLIA bagi tujuan mengisi bahan api.

Pengakhiran

Antonov An-225 telah beroperasi di bawah kendalian Antonov Airlines dari 2001 hingga baru-baru ini apabila ia dilaporkan musnah dalam serangan Rusia di Lapangan Terbang Gostomel yang terletak 25km dari Kyiv. Ini merupakan satu kehilangan besar dalam dunia penerbangan memandangkan pesawat ini merupakan hanya satu-satunya pesawat seumpamanya yang pernah wujud.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved