fbpx

Honda S2000 EV dari Rywire Motorsport – 500hp dan jarak pemanduan 200km

Honda S2000 EV 01

SELAIN Civic Type-R, S2000 merupakan satu lagi jentera keluaran Honda yang mempunyai bilangan pengikut yang begitu ramai, tidak kira sama ada di Jepun, Eropah atau pun Amerika Syarikat.

Dikeluarkan dari 1999 hingga 2009, roadster dua tempat duduk ini terkenal dek kerana rekaannya yang evergreen dan enjin VTEC naturally-aspirated yang mampu mengaum sehingga 9,000rpm. Digabungkan pula dengan bumbung terbuka, tidak hairanlah ia menjadi idaman setiap kaki kereta sehingga ke hari ini.

Namun, dapatkah anda bayangkan bagaimana agaknya jika Honda menghasilkan S2000 versi elektrik? Mungkin terfikirkan perkara yang sama, Ryan dari Rywire Motorsport Electronics telah membina sebuah S2000 EV dengan menggunakan trenkuasa daripada sebuah Tesla.

Dunia modifikasi jentera JDM bukanlah sesuatu yang asing bagi Ryan, namun ini merupakan percubaan pertama beliau untuk menggabungkan trenkuasa elektrik dengan kereta yang asalnya mempunyai enjin pembakaran dalaman.

Untuk projek yang unik ini, Ryan mendapatkan sebuah S2000 buatan tahun 2007. Bagi membuatkannya kelihatan seperti sebuah EV sejati, beliau menggunakan bampar hadapan kustom yang mempunyai gril dengan lubang-lubang heksagon yang seakan-akan model Volkswagen ID.

Tidak cukup dengan itu, rim S2000 EV ini juga dihasilkan secara kustom. Bagi memastikan ia sesuai dengan tema EV projek ini, Ryan memilih reka bentuk separa tertutup dengan kemasan krom. Ia mungkin kelihatan tidak seimbang namun menurut Ryan, terdapat satu lagi lubang pada bahagian belakang rim itu yang menjadikannya seimbang.

Seterusnya, trenkuasa. Motor elektrik yang menjadi pilihan Ryan tidak lain tidak bukan datang dari sebuah Tesla (model tidak dinyatakan). Ia diletakkan pada bahagian belakang dan digandingkan dengan pek bateri pula diletakkan di dalam ruang enjin bagi membantu mengekalkan agihan berat asal S2000.

Untuk bateri itu, Ryan tidak menggunakan bateri Tesla sebaliknya beliau mendapatkan dua buah bateri daripada Chevrolet Bolt yang mempunyai janaan keseluruhan 38kWj. Gabungan bateri dan motor elektrik ini memberikan kuasa sekitar 500hp, serta jarak pemanduan sejauh kira-kira 200km. Tidaklah terlalu mengagumkan namun cukup untuk pemanduan di sekitar bandar.

Selain itu, Ryan turut menggunakan sistem suspensi Ohlins memandangkan berat jentera ini meningkat sekali ganda berbanding asal. Turut digunakan adalah master cylinder elektrik bagi menggantikan vakum enjin, manakala subframe belakang dilebarkan sebanyak lapan inci bagi memuatkan transmisi satu kelajuan dan motor elektrik tersebut.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved