fbpx

White Motorcycle Concepts WMC250EV – Motosikal elektrik dengan kelajuan 400km/j!

wmc250ev thumb

DENGAN pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang sukan permotoran, cita-cita Robert White hanyalah satu: untuk mencapai kelajuan setinggi yang mungkin. Oleh itu pada 2018, beliau mengambil keputusan untuk mengasaskan White Motorcycle Concepts (WMC).

Selepas dua tahun, WMC berjaya menghasilkan jentera pertama mereka – sebuah motosikal elektrik yang boleh mencapai kelajuan melebihi 400km/j. Dinamakan sebagai WMC250EV, motosikal itu dibangunkan untuk mencipta rekod kelajuan motosikal elektrik British dan memecahkan rekod kelajuan darat di Salar de Uyuni, Bolivia.

Seperti yang boleh dilihat, penampilan WMC250EV tidak seperti kebanyakan superbike moden yang ada di pasaran. Ini kerana ia mempunyai saluran udara yang bermula dari bahagian hadapan hingga ke belakang. Teknologi ini dikenali sebagai V-Air dan ia direka sendiri oleh White.

Hasil daripada ujian terowong udara di Motor Industry Research Association (MIRA),  rekaan unik itu didapati boleh mengurangkan rintangan aerodinamik sebanyak 70 peratus. Bukan itu sahaja, kehadiran saluran udara itu juga dapat meningkatkan beban pada bahagian hadapan motosikal.

Ini secara tidak langsung membolehkan WMC menggunakan sebuah motor elektrik “D-Drive” dengan sistem brek janaan semula untuk memacu roda hadapan. Untuk roda belakang pula, syarikat itu menggunakan sistem final-drive (F-Drive) yang dikatakan boleh menggalakkan kuasa dan meningkatkan kecekapan.

Untuk percubaan rekod kelajuan tersebut, WMC perlu mengatasi rekod-rekod yang dicatat oleh juara dunia enam kali, Max Biaggi. Pelumba veteran ini setakat ini telah mencatat 11 rekod dunia dengan motosikal Voxan Wattman di landasan Chateauroux di Perancis.

White, yang bakal mengemudi sendiri WMC250EV, perlu mengatasi kelajuan 394.45km/j yang dicatatkan oleh Biaggi dalam kelas EV Partially Streamlined untuk jarak suku batu. Untuk jarak satu batu pula, rekod Biaggi adalah 366.94km/j.

Bagaimanapun, memecahkan rekod bukanlah satu-satunya sasaran yang ingin dicapai oleh WMC. Syarikat itu juga berminat untuk mengaplikasikan teknologi mereka ke dunia sebenar menerusi motosikal elektrik untuk pasaran massa.

Setakat ini, WMC telah menghasilkan sebuah skuter konsep 300cc WMC300FR yang menggunakan teknologi V-Air. Syarikat itu mendakwa bahawa teknologi itu berjaya mengurangkan seretan aerodinamik sebanyak 25 peratus, bersamaan dengan peningkatan kecekapan bahan api sebanyak 18 peratus.

Bukan itu sahaja, dengan menggunakan sistem hibrid, prestasi skuter itu dikatakan setara dengan motosikal berkapasiti 500cc, namun dengan pengurangan pelepasan CO2 sebanyak 50 peratus.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved