Sono Motors Sion kenderaan elektrik dengan kemampuan mengecas solar

DENGAN perkembangan pesat segmen kenderaan elektrik yang menyaksikan pelbagai jenis model muncul saban tahun, setiap pengeluar perlu mencari keunikan atau niche tersendiri bagi memastikan produk mereka menonjol apabila ia memasuki pasaran.

Bagi Sono Motors, sebuah syarikat startup dari Jerman, rekaan mereka yang dinamakan sebagai Sion ini mungkin kelihatan tidak seberapa namun ia mempunyai satu ciri unik iaitu kemampuan untuk mengecas baterinya menggunakan dengan tenaga solar. Ini menjadikannya antara kenderaan elektrik solar (SEV) terawal yang dibangunkan untuk pasaran massa.

Walaupun masih dalam peringkat prototaip, tempahan untuk Sion telah pun dibuka di Eropah dan setakat ini, syarikat itu telah menerima lebih 14,000 tempahan dari negara-negara seperti Jerman, Austria, Switzerland, Itali, Sepanyol, Portugal, Finland serta Mauritius.

Dari jauh, Sion tampak seperti sebuah MPV kompak dengan badan berwarna hitam. Namun, jika diperhatikan dengan lebih dekat, hampir keseluruhan panel badannya terdiri daripada ratusan sel solar yang diintegrasikan ke dalam panel polimer. Menurut Sono Motors, ia mempunyai 248 sel solar kesemuanya.

Secara asasnya, sel-sel solar tersebut boleh menukarkan cahaya matahari kepada tenaga elektrik, yang kemudiannya akan disimpan di dalam pek bateri lithium-ion fosfat (LFP) berkapasiti 54 kWh. Satu cas penuh memberikan SEV ini jarak pemanduan sejauh kira-kira 306 km, manakala teknologi solar tersebut pula memberikan jarak pemanduan tambahan sehingga 245 km seminggu.

Namun, teknologi solar itu tidak direka untuk menggantikan pengecasan konvesional sepenuhnya. Sion masih boleh dicas menerusi plug seperti kenderaan elektrik yang lain. Malah, setiap pembelian akan didatangkan dengan wallbox yang boleh mengecas bateri tersebut sepenuhnya dalam masa lima jam.

Sion juga menyokong pengecasan pantas (DC) 75 kW di stesen-stesen pengecasan awam, di mana 80 peratus tahap kuasa boleh dicapai dalam masa hanya 35 minit. Lebih menarik lagi, baterinya boleh digunakan sebagai sumber kuasa untuk kediaman ketika dalam keadaan kecemasan seperti terputus bekalan elektrik, misalnya.

Selain itu, ia menampilkan pelbagai teknologi yang sepatutnya ada pada sebuah EV moden. Ini termasuklah skrin sentuh berukuran 10 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kluster instrumen digital tujuh inci. Satu ciri unik yang mungkin tidak akan dijumpai pada mana-mana EV lain adalah lumut organik yang dikatakan mampu meningkatkan kualiti udara di dalam kabin serta membekalkan pencahayaan ambien.

Menurut Sono Motors, Sion akan dipasang di bekas kilang SAAB di Trollhattan, Sweden. Harganya dikatakan bermula serendah 21,429 Euro (RM103,932).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *