Toyota memperkenalkan Scion KEI-01, sebuah trak utiliti kompak yang diinspirasikan daripada pikap mini (kei-truck) Jepun, menerusi jenama baharu Scion by Toyota.
Setelah lama direhatkan, Scion kini diberi tugas dan konsep baharu oleh Toyota.
Diperkenalkan pada 9 November 2026, KEI-01 bakal memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) pada separuh kedua 2027.
Di Jepun, KEI-01 dikenali sebagai Toyota Pixis dan dijenamakan semula dari Daihatsu Hijet.
KEI-01 menawarkan gabungan saiz kompak, keupayaan membawa muatan dan sistem pacuan empat roda (4WD) untuk kegunaan kerja serta aktiviti luar.
Menariknya, KEI-01 menggunakan enjin tiga silinder berkapasiti 660cc yang dipadankan dengan transmisi CVT dan sistem 4WD sebagai kelengkapan standard.
Scion KEI-01: Trak kompak untuk pelbagai kegunaan
KEI-01 dibangunkan dengan mengambil inspirasi daripada trak kei Jepun yang terkenal dengan praktikaliti dan kepelbagaian kegunaan.
Walaupun mempunyai dimensi kompak, trak ini menawarkan ruang kargo yang boleh diakses dengan mudah menerusi ruang muatan tiga arah yang boleh dilipat.
Reka bentuk tersebut memudahkan kerja memuatkan dan menurunkan barangan.
Dari segi dimensi, panjang trak ini hanya sedikit melebihi 3.35 meter, manakala lebarnya kurang daripada 1.52 meter.
Saiz tersebut membolehkannya bergerak dengan lebih mudah di kawasan sempit.
Satu lagi yang menarik, KEI-01 menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kanan dan kelajuan maksimum setakat 40 km/j.
Model ini direka untuk mematuhi keperluan keselamatan FMVSS No. 500 yang ditetapkan untuk kenderaan berkelajuan rendah (Low-Speed Vehicle, LSV).
Antara ciri utama KEI-01 termasuk:
- Enjin: 660cc, tiga silinder.
- Transmisi: CVT.
- Pacuan: 4WD dengan pilihan mod automatik dan sistem kunci melalui butang untuk meredah permukaan berlumpur, bersalji serta laluan tidak rata.
- Ruang kargo: Ruang muatan tiga arah yang boleh dilipat.
- Kapasiti menunda: Struktur badan direka untuk menunda treler kecil dan peralatan.
- Kapasiti muatan: Sehingga 272 kg.
Kabin luas dengan kemudahan penyaman udara
Walaupun tampil sebagai trak utiliti kecil, KEI-01 turut menawarkan kabin yang direka untuk keselesaan pengendali.
Reka bentuk kabin lanjutan dengan bumbung lebih tinggi membolehkan tempat duduk dilaraskan secara gelongsor dan disandarkan.
Ruang simpanan berkunci turut disediakan di belakang tempat duduk untuk menyimpan peralatan dan barangan kerja.
Kabin tertutup itu juga dilengkapi sistem pemanas dan penyaman udara bagi memastikan keselesaan sepanjang tahun.
Dipasang di kilang Toyota Indiana
Scion KEI-01 akan dipasang di kilang Toyota Motor Manufacturing Indiana di Amerika Syarikat bermula separuh kedua 2027.
Projek ini melibatkan pelaburan AS$34 juta (sekitar RM138 juta), selain mewujudkan kira-kira 50 peluang pekerjaan baharu.
Sebagai model yang dihasilkan dalam jumlah terhad, KEI-01 pada peringkat awal akan ditawarkan menerusi program percubaan yang memfokuskan pelanggan armada.
Penjualannya akan dikendalikan oleh rangkaian kecil pengedar Scion by Toyota yang dipilih daripada rangkaian pengedar Toyota sedia ada.
Toyota turut membuka kemungkinan penjualan runcit secara terhad pada masa hadapan.
Keputusan itu bergantung kepada keadaan pasaran, permintaan pelanggan dan pertimbangan operasi.
Scion by Toyota turut perkenal dua konsep mobiliti
Selain KEI-01, Toyota turut memperkenalkan jenama Scion by Toyota sebagai ruang eksperimen untuk meneroka idea baharu dalam mobiliti, pengembaraan dan ekspresi peribadi.
Dua model konsep lain yang diperkenalkan ialah SxS Concept dan BKE Concept.
SxS Concept merupakan kenderaan side-by-side yang dibangunkan pasukan kejuruteraan Amerika Utara.
Ia menggunakan rangkaian kuasa hibrid empat silinder turbo yang menghasilkan lebih 300hp dengan sistem suspensi untuk kegunaan off-road.
Model konsep itu turut mempunyai mod senyap (Silent Mode) yang membolehkan kenderaan bergerak menggunakan kuasa elektrik.
Sementara itu, BKE Concept meneroka pendekatan mobiliti peribadi dengan reka bentuk kompak yang menggabungkan elemen utiliti dan pengembaraan.
Ketiga-tiga model ini memperlihatkan hala tuju Scion by Toyota dalam meneroka pelbagai bentuk kenderaan untuk kegunaan harian, kerja dan aktiviti luar.
