Suzuki memperkenalkan GSX-10R di EICMA 2026, sebuah motosikal sport baharu yang menggabungkan prestasi litar dengan praktikaliti untuk kegunaan harian.
Walaupun menggunakan nama berakhiran “R”, model ini berkongsi banyak komponen dengan keluarga GSX-S1000, tetapi menampilkan ergonomik tunggangan agresif seperti GSX-R1000R.
Rekaannya meneruskan elemen tradisional GSX-R, dengan lampu utama tengah yang lebih kecil.
Menurut Suzuki, reraup hadapan melalui ujian terowong angin berulang bagi membentuk ruang perlindungan angin di sekitar topi keledar ketika penunggang menunduk.
Sepasang winglet pendek pula lebih tertumpu kepada pengurusan aliran udara berbanding menghasilkan daya mendap.
Spesifikasi
Suzuki GSX-10R menggunakan versi enjin K5 yang dikemas kini seperti yang digunakan pada GSX-S1000GT, GSX-S1000GX dan Katana.
Enjin ini menghasilkan kuasa 152 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas kira-kira 114 Nm @ 9,250 rpm.
Suzuki mengemaskini enjin ini dengan komponen baharu seperti profil sesondol, aci sesondol, sproket rantai pemasaan, kepala silinder, perumah enjin serta jurnal aci engkol baharu.
Menurut Suzuki, perubahan tersebut bertujuan mengimbangi prestasi dan kebolehpercayaan, selain menyediakan enjin untuk penggunaan bahan api berasaskan alkohol pada masa depan.
Ia turut dilengkapi klac slipper dan sistem ekzos empat-ke-satu, dengan peredam lebih kecil berbanding GSX-R1000R.
Casisnya menyerupai model GSX-S dan Katana, tetapi menggunakan subrangka baharu untuk menyesuaikan posisi tunggangan lebih sporti.
Tetapan suspensi terdiri daripada fork KYB 43 mm dan penyerap hentak belakang rekaan baharu, kedua-duanya boleh dilaraskan sepenuhnya.
Brek hadapan pula menggunakan rotor berkembar 310 mm dan angkup monoblok radial Brembo.
Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:
- Skrin paparan TFT
- Tangki bahan api 18 liter
- Tinggi pelana 810 mm
- Rim 17 inci
- Tayar Bridgestone Battlax Hypersport S23
- Sistem quickshifter dua arah
- Suzuki Ground Beacon System
Suzuki GSX-10R turut mendapat bantuan elektronik berasaskan IMU melalui pakej Smart Traction, Lift, Roll Torque and Slide Control (SMART TLRS).
Kelengkapan elektronik lain termasuk tiga peta kuasa, ABS mengikut sudut kecondongan, kawalan brek enjin, launch control dan kawalan jelajah.
Turut diperkenalkan ialah sistem Brake Hold yang mengekalkan tekanan brek belakang selama 30 saat selepas motosikal berhenti.
Sistem Brake Hold ini akan dilepaskan apabila pendikit dibuka atau tuil brek hadapan ditekan dua kali dengan pantas.
GSX-10R ditawarkan dalam tiga kombinasi warna:
- Pearl Vigor Blue / Metallic Mystic Silver
- Pearl Pulse Red / Solid Iron Grey
- Glass Sparkle Black / Metallic Galaxy Grey
