Chery TIGGO 7 generasi baharu & TIGGO X7 debut untuk pasaran global

Bertempat di acara Chery Brand Night, Chery memperkenalkan dua SUV baharu untuk pasaran global, iaitu TIGGO 7 dan TIGGO X7.

TIGGO 7 merupakan SUV generasi ketiga serba baharu yang lebih fokus kepada perjalanan harian di bandar.

Manakala TIGGO X7 pula dibangunkan untuk keluarga yang gemar meneroka aktiviti luar.

TIGGO 7

Generasi ketiga TIGGO 7 membawakan pendekatan rekaan yang tidak jauh beza berbanding model TIGGO 7 generasi kedua yang dipasarkan di Malaysia.

Ia mengekalkan identiti yang diinspirasikan daripada harimau dan dipadankan dengan kabin berkonsepkan ala kapal layar.

Untuk ruang kabin, TIGGO 7 menawarkan tempat duduk depan boleh laras ketinggian, serta penyandar tempat duduk belakang boleh laras.

Tidak ketinggalan, sistem penyaman udara yang mampu menyejukkan atau memanaskan kabin dengan pantas.

Dari segi keselamatan, model baharu ini menggunakan struktur badan jenis sangkar dengan lebih 80% keluli berkekuatan tinggi.

Ia turut disokong lebih 20 fungsi keselamatan aktif dan bantuan pemanduan.

TIGGO X7

Berbeza dengan TIGGO 7 yang lebih lembut gayanya, TIGGO X7 pula direka dengan gaya yang lebih lasak dengan pendekatan rekaan yang diilhamkan daripada SUV off-road terkenal.

Menggabungkan keupayaan pemanduan selesa untuk bandar dan pemanduan pelbagai permukaan jalan, model ini hadir dengan ciri seperti:

  • Sistem mod pemanduan 3-6-1
  • Casis untuk pelbagai permukaan
  • Kawalan gerak perlahan luar jalan atau crawl control
  • Kelegaan tanah melebihi 200 mm
  • Keupayaan meredah air sehingga 700 mm
  • Kamera 540 darjah untuk membantu pemandu melihat keadaan sekeliling

Kabin Tiggo X7 turut menumpukan enam aspek keselesaan, iaitu suhu, kelembapan, kesegaran udara, kebersihan, kesenyapan dan tetapan peribadi.

Menurut Chery, pendekatan itu membantu mewujudkan ruang yang selesa serta mengurangkan keletihan sepanjang perjalanan jauh.

Bagi memudahkan aktiviti keluarga, tempat duduk baris kedua boleh dilipat dengan satu sentuhan butang untuk menambah ruang membawa kelengkapan perkhemahan dan bagasi.