Castrol Unleashed Youth Sim Racing Championship 2026 kini kembali membuka peluang kepada anak muda yang berbakat dalam perlumbaan simulator.
Terbuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 24 tahun, musim kedua kali ini mempertandingkan dua kategori, iaitu:
- Belia Lelaki
- Belia Wanita
Selain itu, ia juga turut menawarkan program pembangunan untuk membantu peserta meningkatkan kemahiran dan bersedia menghadapi perlumbaan lebih kompetitif.
Akses mudah kepada sukan permotoran
Joshua Tan selaku Ketua Pemasaran Castrol Malaysia, Singapura dan Filipina berkata, perlumbaan simulator menyediakan laluan yang lebih mudah diakses untuk anak muda menceburi sukan permotoran.
Platform Castrol Unleashed pula membantu mereka membina kemahiran, keyakinan dan kesediaan untuk bersaing.
Ini dibuktikan menerusi penganjuran musim pertama yang berjaya menarik penyertaan lebih 400 pelumba muda serta penglibatan 4,000 orang awam.
Bagi musim kedua, peserta turut mendapat manfaat daripada Castrol Unleashed Masterclass Series dengan sokongan TGR Malaysia.
Siri itu merangkumi kira-kira 13 sesi dalam talian yang membincangkan kemahiran perlumbaan, analisis telemetri, teknik mencatat masa pusingan serta pengenalan kepada kereta dan litar yang digunakan sepanjang kejohanan.
Tempahan slot saringan
Saringan menggunakan format Time Attack di dua lokasi:
- Cove Circuit Cyberjaya: 10 dan 11 Oktober 2026.
- Cove Circuit Bandar Sunway: 17 dan 18 Oktober 2026.
Semua slot saringan pertama di Cyberjaya telah habis ditempah, mencerminkan sambutan terhadap kejohanan ini. Peserta boleh mendaftar sehingga dua slot saringan dengan bayaran RM10 menerusi unleashedsimracing.com.
Latihan juga boleh dilakukan di Cove Circuit menggunakan perkakasan simulator yang sama seperti dalam kejohanan.
20 pelumba terpantas bagi setiap kategori akan layak ke pusingan akhir di Pusat Beli-belah 1 Utama pada 13 hingga 15 November 2026.
Di pentas akhir, 10 peserta terbaik setiap kategori akan bersaing merebut hadiah wang tunai, termasuk RM6,000 untuk juara Lelaki Belia dan RM3,000 untuk juara Wanita Belia.
