Empat atlet e-sukan bakal membawa nama Malaysia dalam Asia Pasific Motorsport Championship 2026 di Litar Bira, Pattaya 23 hingga 25 Oktober ini.
Empat atlet tersebut ialah:
- Nabil Azlan (24 tahun)
- Iqbal Suji (28 tahun)
- Ethen Low (16 tahun)
- Raja Amirul Syauqat (22 tahun)
Kesemua atlet dipilih selepas menamatkan pertandingan kelayakan kebangsaan masing-masing di dua kedudukan teratas yang mendapat pengiktirafan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).
Kategori Assetto Corsa
Nabil Azlan kembali ke APMC dengan misi memperbaiki pencapaiannya selepas meraih pingat perak dalam kategori iRacing pada edisi 2025.
Beliau yang beralih ke kategori Assetto Corsa tahun ini merupakan juara MAM Festival of Speed Esport 2026 dan Toyota GAZOO Racing Malaysia e-Racing Pro Class 2025.
Sementara itu, Iqbal Suji bakal membuat penampilan sulung di APMC dengan pengalaman sebagai finalis Gran Turismo World Series 2023 Nations Cup dan Asia Pacific Final FIA Rally Star 2023.
Kategori iRacing
Raja Amirul Syauqat pula hadir dengan reputasi sebagai juara MAM eRacing GP National Championship 2026 dan bakal membuat penampilan sulung di APMC.
Beliau akan bergandingan dengan Ethen Low, atlet berusia 16 tahun yang kini mendahului Toyota GAZOO Racing Malaysia Rookies Championship.
Ethen juga baru-baru ini muncul juara kategori Young Dreamers dalam Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2026.
Malaysia buru kejayaan
Penyertaan skuad negara mendapat sokongan Esports Integrated (ESI) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Malaysia Esports Accelerator Program (MEAP).
Sejak penganjuran sulung APMC pada 2023, Malaysia telah meraih pingat emas dalam kategori individu dan berpasukan bagi disiplin e-sukan.
APMC 2026 dijangka menghimpunkan antara 250 hingga 500 peserta dari 24 negara yang akan bersaing dalam enam disiplin sukan permotoran.
Kejohanan anjuran Royal Automobile Association of Thailand (RAAT) itu bakal menyaksikan peserta merebut pingat emas, perak dan gangsa dalam kategori masing-masing.
