Hyundai Avante N Monochrome 2027 untuk Korea, bakal masuk pasaran lain

Hyundai Motor memperkenalkan Avante N Monochrome 2027, model edisi khas baharu berasaskan sedan berprestasi tinggi Avante N.

Di pasaran luar seperti Amerika Syarikat, Avante N dikenali sebagai Elantra N.

Model ini mengetengahkan konsep reka bentuk monokrom yang mengurangkan penggunaan warna menyerlah bagi memberikan lebih tumpuan kepada prestasi dan keseronokan pemanduan.

Monokrom merujuk kepada penggunaan satu warna atau tona daripada keluarga warna yang sama.

Konsep ini diterapkan pada bahagian luaran dan dalaman Avante N Monochrome untuk menghasilkan penampilan yang lebih ringkas serta menonjolkan ciri prestasi tinggi model berkenaan.

Menurut Ketua Pengurusan N, Park Jun-woo, model ini dibangunkan susulan permintaan pelanggan yang mahu menikmati warisan prestasi tinggi Avante N dalam bentuk lebih sederhana.

Beliau berkata, pendekatan mengurangkan elemen yang terlalu menyerlah sambil menambah perincian membolehkan pemandu memberikan lebih tumpuan kepada keseronokan pemanduan

Ciri-Ciri Avante N Monochrome

Avante N Monochrome ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu Black dan Performance Blue. Antara ciri khusus model ini ialah:

  • Rim tempa khusus Monochrome dengan reka bentuk baharu.
  • Bampar hadapan dan belakang dengan kemasan monokrom.
  • Angkup brek dan butang pada stereng dengan kemasan sepadan.
  • Penggunaan bahan Alcantara pada bahagian dalaman, termasuk stereng.
  • Komponen luaran tertentu, termasuk cermin sisi, menggunakan bahan karbon.

Penggunaan Alcantara pada bahagian dalaman seperti stereng dan bahan karbon pada komponen luaran tertentu seperti cermin sisi menambah lagi ciri prestasi tinggi model ini.

Rangkaian Kuasa

Hyundai tidak mendedahkan butiran terperinci namun Avante N yang menjadi asas model ini menggunakan enjin petrol turbo 2.0 liter dengan teknologi Flat Power khusus N.

Enjin tersebut menghasilkan 280 PS pada 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork maksimum 392Nm pada 2,100 hingga 4,700 rpm.

Model Avante N di pasaran turut ditawarkan dengan pilihan transmisi DCT lapan kelajuan atau manual enam kelajuan.

Berat (kerb) masing-masing ialah 1,520 kg bagi versi DCT dan 1,480 kg bagi versi manual.

Korea Selatan Dahulu

Hyundai merancang untuk memulakan jualan Avante N Monochrome di Korea Selatan pada 29 Oktober sebelum diperkenalkan di pasaran global pada masa akan datang.

Model ini juga akan dipamerkan di Hyundai N Festival di Everland Speedway pada 31 Oktober dan 1 November 2026.