BYD Malaysia mengumumkan pelantikan Inokom Corporation Sdn Bhd, anak syarikat Sime Motors sebagai rakan pemasangan tempatan.
Pengumuman ini adalah susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu pejabat global BYD di Shenzhen, China.
MoU tersebut ditandatangani oleh Liu Xueliang, Naib Presiden BYD merangkap Pengurus Besar Bahagian Jualan Automotif BYD Asia Pasifik dan Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan Sime.
Pemilihan tersebut dibuat setelah menilai pasaran tempatan serta keupayaan pengeluaran yang tersedia.
Selain itu, Inokom juga mempunyai pengalaman dalam pemasangan kenderaan, tenaga kerja mahir serta prasarana yang diperlukan.
Ia menjadi asas kukuh untuk BYD Malaysia meneruskan perancangan untuk memasang kenderaan secara CKD di Malaysia.
Menurut Jacob Ma, Pengarah Urusan BYD Malaysia berkata, “Kerjasama ini merupakan satu lagi langkah dalam perkembangan BYD di Malaysia bersama BYD Sime Motors.
“Kami akan terus memperkukuh kehadiran tempatan dan meneroka peluang untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia melalui kerjasama dengan rakan industri tempatan,” ujarnya.
Dato’ Jeffri Salim Davidson menambah, “Keputusan BYD untuk bekerjasama dengan Sime mencerminkan kekuatan industri pembuatan automotif Malaysia serta kepakaran yang telah kami bangunkan selama ini.
“Pengalaman kami dalam pemasangan kenderaan, disokong oleh tenaga kerja berpengalaman dan rangkaian pembekal tempatan yang mantap, menyediakan asas yang kukuh bagi kerjasama ini.
“Selain pemasangan kenderaan, kerjasama seperti ini membuka peluang untuk memperkukuh ekosistem automotif Malaysia, menyokong perniagaan tempatan dan membangunkan kepakaran yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang industri ini,” katanya lagi.
