iCaur V25 bakal debut global 19 Oktober ini, pilihan REEV & EV

Model terbaharu iCaur V25 akan membuat kemunculan gobal pada 19 Oktober ini sempena iCaur International User Summit di Wuhu, China.

Dalam siri V, iCaur V25 diposisikan di tengah-tengah antara model V23 dan V27 yang lebih besar.

Dimensi

V25 membawakan ukuran sepanjang 4,636 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,855 mm dengan jarak antara roda 2,820 mm.

Sebagai perbandingan, V27 berukuran sepanjang 5,055 mm manakala V23 pula berukuran 4,220 mm.

Rekaan

Sama seperti model yang ditawarkan dalam siri V, V25 mengekalkan identiti reka bentuk berkotak, diikuti perincian seperti:

  • lampu hadapan berbentuk bulat
  • struktur jeriji terbuka
  • gerbang roda bersegi
  • lampu belakang yang nipis

Pilihan REEV atau EV

Ketika mula diperkenalkan beberapa bulan lepas, iCaur V25 ditawarkan dalam versi penambah jarak (REEV).

Sistem tersebut menampilkan enjin 1.5L turbo (154 hp) yang bertindak sebagai unit penjana untuk bateri LFP 33.68 kWh.

Tenaga elektrik itu kemudian disalurkan kepada sepasang motor yang mampu menjana kuasa 455 hp dan 505 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 5.9 saat.

Jarak gerak sifar emisi adalah sejauh 150 km (data WLTC), sementara jarak keseluruhan pula boleh mencecah 1,200 km.

Selain versi REEV, iCaur V25 juga bakal ditawarkan dalam versi elektrik sepenuh masa (BEV).

SUV ini turut dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda i-AWD

Ruang kabin

Susun atur ruang kabin V25 dilihat agak serupa dengan apa yang ditawarkan pada model V23.

Terdapat skrin kluster digital, skrin infohibur sebesar 15.4 inci, empat tombol kawalan yang besar di tengah termasuk tombol penukaran mod pemanduan, serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.

Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang debut rasmi di peringkat global pada 19 Oktober ini.