DeLorean sertai perlumbaan kereta terbang, nama ikonik akhirnya terbang secara nyata di udara!

DeLorean Motor Company mengumumkan penyertaan dalam Airspeeder International Series, siri perlumbaan kereta terbang elektrik pertama di dunia, sebagai pembina pasukan Amerika Syarikat.

Dikenali sebagai DeLorean Airspeeder Team, pasukan itu dijadualkan membuat penampilan sulung pada pembukaan musim 2026-2027 pada November 2026.

Golongan yang membesar pada era 1980-an mengenali DMC DeLorean sebagai sebuah kereta dalam filem Holywood yang mampu terbang merentasi masa.

Pengumuman itu dibuat sempena TechCrunch Disrupt 2026 di San Francisco, Amerika Syarikat, pada 13 Oktober 2026.

Penyertaan ini menjadikan DeLorean pembina pertama dari Amerika Syarikat dalam perlumbaan kereta terbang.

Pasukan itu akan bersaing dengan pasukan kebangsaan dari seluruh dunia dalam musim antarabangsa pertama siri berkenaan.

Reka bentuk pesawat, barisan juruterbang dan program perlumbaan akan diumumkan sebelum perlumbaan pembukaan musim.

DeLorean Bawa Identiti Automotif Ke Udara

DeLorean terkenal dalam sejarah automotif menerusi reka bentuk dan pendekatan yang tersendiri.

Kini, jenama itu mahu membawa identitinya ke dunia perlumbaan udara menggunakan teknologi pendorongan elektrik, kawalan penerbangan canggih dan sistem keselamatan berasaskan AI.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Airspeeder, Matt Pearson, berkata DeLorean sememangnya mempunyai kaitan rapat dengan kereta terbang.

Malah, sebelum kereta terbang dibina, orang ramai di seluruh dunia sudah dapat membayangkan rupa DeLorean yang terbang di udara.

Menurutnya, sesebuah siri perlumbaan hebat turut ditentukan oleh pembina yang mengambil bahagian.

Penyertaan DeLorean, ikon automotif Amerika Syarikat, dalam musim antarabangsa pertama Airspeeder mencerminkan potensi dan hala tuju sukan perlumbaan ini.

Amerika Syarikat berulang kali membawa perubahan kepada cara dunia bergerak, sama ada di jalan raya, di udara mahupun seterusnya.

Kini, DeLorean Airspeeder Team membawa aspirasi itu ke arena baharu.

Gunakan Pesawat Airspeeder Mk3C

Dalam Airspeeder International Series, pasukan kebangsaan akan berlumba menggunakan pesawat elektrik yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL).

Perlumbaan berlangsung dalam ruang tiga dimensi melalui laluan yang ditetapkan secara elektronik, berbeza daripada litar perlumbaan konvensional.

Untuk musim pertama, pasukan itu akan berlumba menggunakan pesawat Airspeeder Mk3C, dengan DeLorean menerajui pembangunan identiti reka bentuk.

Bagi musim 2027-2028, pesawat DeLorean Airspeeder akan dibangunkan menerusi kerjasama dengan pasukan kejuruteraan pelajar dari beberapa universiti di Amerika Syarikat, termasuk:

  • University of California
  • UC Berkeley
  • Georgia Tech

Kerjasama itu bertujuan melibatkan bakat kejuruteraan dan reka bentuk dari Amerika Syarikat dalam pembangunan pesawat perlumbaan tersebut.

Perlumbaan Sebagai Platform Pembangunan Teknologi

Menurut DeLorean, sukan permotoran menjadi platform untuk menguji teknologi, mempercepat pembangunan dan menilai prestasi dalam keadaan mencabar.

Melalui kerjasama dengan Airspeeder, DeLorean mahu membantu membangunkan teknologi kenderaan terbang.

Kerjasama ini turut merangkumi usaha membangunkan rangka kerja kawal selia, keselamatan dan pematuhan bagi memastikan teknologi itu digunakan secara bertanggungjawab.

Penggunaan kenderaan terbang secara meluas masih memerlukan masa.

Namun, DeLorean melihat peluang untuk menjadikan teknologi mobiliti masa depan lebih praktikal dan boleh digunakan secara meluas.

Airspeeder International Series pula menjadi platform untuk memperkenalkan teknologi penerbangan elektrik kepada penonton di seluruh dunia.

Sasarannya termasuk mereka yang berminat dengan teknologi, reka bentuk, permainan dan budaya, selain sukan perlumbaan.

DeLorean dan Airspeeder akan berkongsi perkembangan lanjut mengenai kerjasama itu dalam beberapa bulan akan datang.