Citroën 2 CV Concept diperkenal, nama ikonik bakal kembali
Citroën menghidupkan semula legasi model ikonik 2 CV menerusi 2 CV Concept yang diperkenalkan pada Pameran Motor Paris 2026.
2 CV Concept menggabungkan reka bentuk yang mengambil inspirasi daripada model asal dengan pendekatan moden untuk memenuhi keperluan mobiliti masa depan.
Model konsep ini gambaran awal model baharu yang dirancang Citroën menjelang 2028 iaitu di antara Ami dan C3.
Citroën mahu mengembalikan nilai utama yang menjadikan 2 CV popular, iaitu harga mampu milik, berat ringan, praktikal, serba guna dan mempunyai identiti tersendiri.
Sasaran harga permulaan adalah sekitar €15,000 (RM68,610) dan akan mematuhi peraturan E-Car Eropah pada masa depan.
Reka Bentuk Klasik Dengan Sentuhan Moden

Reka bentuk 2 CV Concept masih menyerupai model asal, tetapi dengan olahan baharu dan bentuk yang lebih moden.
Antara perincian reka bentuk ialah:
- Bahagian hadapan dengan lampu utama bulat, lampu LED, bonet berlekuk dan pengambilan udara bersepadu.
- Cermin hadapan tegak, bumbung melengkung, fender membulat dan hendal pintu berkontur.
- Rim keluli 18 inci yang diinspirasikan daripada 2 CV asal, dipadankan dengan tayar Michelin yang menampilkan logo Heritage dan lambang Citroën.
- Bahagian belakang dengan pintu but hitam yang memanjang hingga ke bampar, lampu LED di kedua-dua sisi dan tiga jalur mendatar.
Dengan panjang 3.76 meter, 2 CV Concept lebih pendek daripada 2 CV asal. Ukuran kompak ini bertujuan memudahkan pemanduan dan parkir.
Citroën turut memberikan perhatian kepada kemudahan pengeluaran dan pembaikan.
Antaranya termasuk permukaan badan rata, pengambilan udara di bawah cermin hadapan serta bampar berasingan yang boleh diganti secara individu.
Dalaman Lapang dan Praktikal

Ruang kabin direka untuk memberikan suasana terang, selesa dan mesra pengguna.
Reka bentuk tanpa papan pemuka konvensional serta panel pintu yang lebih ringkas membantu menyediakan ruang tambahan kepada penumpang.
Ciri utama dalaman:
- Kerusi dengan teknologi Citroën Advanced Comfort.
- Kerusi hadapan yang boleh ditarik keluar untuk memberikan pengalaman berehat lebih santai.
- Bakul simpanan boleh tanggal sebagai ganti konsol tengah.
- Pemegang pintu menggunakan tali lembut.
- Bumbung fabrik yang membolehkan lebih banyak cahaya masuk ke dalam kabin.
- Stereng satu jejari, satu tuil kawalan dan pedal gear.
- Paparan Citroën Smart Vision yang mengutamakan maklumat penting dalam medan penglihatan pemandu.
- Skrin sentuh berbentuk segi empat berukuran 8 inci dengan grafik diinspirasikan daripada buku komik.
Satu lagi ciri unik ialah Radioën, iaitu radio boleh tanggal yang turut berfungsi sebagai pembesar suara. Peranti ini boleh digunakan di dalam atau di luar kereta.
Warna Ceria dan Perincian Nostalgia

Warna badan Infra Red menggunakan asas jingga dengan sentuhan kuning dan merah.
Di bahagian dalam, corak kotak-kotak atau tartan yang sinonim dengan 2 CV diberikan nafas baharu menerusi warna kuning terang pada pelapik kerusi.
Perincian lain termasuk:
- Sentuhan warna kuning air yang diinspirasikan daripada bahan Bakelite pada stereng, kawalan, panel instrumen dan kemasan tepi kerusi.
- Fabrik bertekstur yang diinspirasikan daripada anyaman rotan dan bakul pada lantai, papan pemuka dan panel pintu.
- Bakul simpanan yang menggabungkan kayu dengan plastik berasaskan bio, dihasilkan menggunakan teknologi cetakan 3D.
- Kemasan kayu di sekeliling unit Radioën.
- Rim keluli kelabu cerah dengan klip warna kuning yang memaparkan tulisan 2 CV.

Citroën turut menampilkan beberapa perincian yang merujuk kepada sejarah model tersebut:
- Nombor 48, 90 dan 26 pada cermin hadapan merujuk kepada tahun 1948 ketika 2 CV diperkenalkan, tahun 1990 apabila pengeluarannya berakhir dan tahun 2026 ketika model konsep ini didedahkan.
- Pedal brek menggunakan simbol kura-kura, manakala pedal pemecut mempunyai simbol arnab.
- Ruang simpanan pada pintu yang direka untuk memuatkan telur mengimbas kembali pendekatan praktikal model asal.
- Tayar Michelin menampilkan corak chevron eksklusif, manakala plat nombor memaparkan nama panggilan 2 CV di beberapa negara.
- Bunyi hon dan motor elektrik ketika kereta dihidupkan mengambil inspirasi daripada 2 CV asal.
- Pelekat berbentuk hati menggambarkan populariti model berkenaan.
Kereta Elektrik Kompak Untuk Masa Depan

Citroën mahu menawarkan kereta elektrik yang ringkas, ringan dan mampu milik ketika pasaran semakin cenderung kepada kenderaan lebih besar, berat dan mahal.
Sasaran berat ialah sekitar satu tan, berat yang lebih rendah membolehkan penggunaan bateri lebih kecil dan menjimatkan kos, dengan jarak pemanduan yang disesuaikan untuk harian.
Konsep ini turut menampilkan kerjasama dengan Michelin menerusi teknologi universal digital twin of the tyre.
Teknologi ini membolehkan tingkah laku kenderaan disesuaikan dengan persekitaran serta keadaan tayar dipantau secara berterusan.




























































