Wing Hin Motorsports kini pengedar eksklusif jenama aftermarket GROW Design di Malaysia

Wing Hin Motorsports dilantik sebagai pengedar eksklusif bagi jenama aftermarket Jepun, iaitu GROW Design di Malaysia.

Kerjasama ini membawakan rangkaian produk aerodinamik yang lebih mudah diakses untuk model popular seperti:

  • Toyota GR Yaris
  • Toyota GR Corolla
  • Toyota GR86
  • Subaru BRZ
  • Toyota Alphard/Vellfire

Serentak dengan pelancaran di Malaysia, turut dipamerkan sebuah Toyota GR Corolla Morizo Edition lengkap dengan komponen GROW Design.

Dalam masa yang sama, mereka turut memperkenalkan lampu belakang baharu untuk Toyota Alphard generasi keempat buat pertama kali di peringkat global.

Pihak Wing Hin Motorsports turut mengumumkan usaha sama bagi menubuhkan GROW International yang akan menjadi pengedar tunggal produk GROW Design di seluruh dunia.

Sejarah ringkas GROW Design

Jenama GROW Design ini ditubuhkan oleh pelumba Jepun Masahiro Sasaki pada tahun 2008, menggabungkan pengalaman perlumbaan dan reka bentuk yang berfungsi.

Jenama ini terkenal dengan gaya yang bersih serta meningkatkan rupa, prestasi dan pengendalian tanpa mengorbankan karakter asal kenderaan.

Sasaki sememangnya berpengalaman luas dalam pembangunan kenderaan seperti GR Yaris dan GR86 menerusi penglibatan bersama Toyota Gazoo Racing dan Rookie Racing sejak 2019.

Antara perlumbaan berprestij yang disertai termasuklah Super GT, Super Taikyu, serta kejuaraan 86/BRZ Race Series. 

Pada mulanya, jenama ini memberi fokus kepada pembangunan pemandu, pembinaan kereta lumba dan penyelenggaraan sebelum berkembang kepada produk aerodinamik dan talaan pada 2024.

Antara rangkaian produk yang ditawarkan oleh GROW Design termasuklah:

  • kit badan aerodinamik
  • komponen gentian karbon
  • spoiler dan sayap belakang
  • diffuser dan skirt sisi
  • overfender
  • sistem suspensi
  • sistem ekzos
  • tempat duduk berprestasi dan komponen dalaman

Kukuh kehadiran di Malaysia

Wing Hin Motorsports turut melantik SC Custom Styling & Autopart Sdn Bhd sebagai pengedar sah GROW Design.

Pelantikan ini mengukuhkan lagi portfolio jenama automotif khusus Wing Hin Motorsports seperti Modellista, TRD, Valenti, GR Parts dan HAL Springs.