Mazda CX-5 2026 rasmi di Malaysia – varian 2.5 High, harga RM171,510

Bermaz Motor secara rasminya mengumumkan ketibaan SUV generasi baharu Mazda CX-5 2026 untuk pasaran Malaysia.

Ditawarkan dalam varian tunggal 2.5 High, CX-5 ini dijual pada harga RM171,510 atas jalan tanpa insurans.

Unit pacuan

CX-5 generasi baharu ini didatangkan dengan enjin Skyactiv-G 2.5L menghasilkan kuasa 185 hp @ 6,000 rpm dan 257 Nm @ 4,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada dua roda depan menerusi transmisi automatik 6-kelajuan.

Kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 7.6L per 100 km.

Casis & Dimensi

Mazda CX-5 menggunakan tetapan gantungan yang terdiri daripada topang MacPherson di depan dan multi-link di belakang.

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,690 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,695 mm dan jarak antara roda 2,815 mm.

Jarak kelegaan tanah setinggi 200 mm, sementara radius putaran pula 5.60 meter.

Secara standard, CX-5 dibekalkan dengan rim aloi hitam metalik bersaiz 19 inci (tayar 225/55 R19). Kapasiti tangki bahan api pula adalah sebesar 56 liter.

Kelengkapan

Berbeza dengan model generasi terdahulu, CX-5 baharu ini membawakan pendekatan bahasa rekaan Kodo yang telah dikemas kini, dengan rekaan lampu yang lebih tirus dan tajam.

Di bahagian luar, CX-5 hadir dengan ciri seperti lampu utama LED berserta DRL, pintu tailgate berkuasa elektrik, spoiler belakang, pelindung badan dan kemasan bampar berwarna Piano Black, serta rel bumbung.

Antara perubahan yang paling besar pada CX-5 terletak pada ruang kabin.

Ia kini tidak lagi menampilkan tombol kawalan sistem infohibur dan panel kawalan suhu kabin fizikal.

Hampir kesemua fungsi-fungsi kenderaan kini disumbatkan dalam skrin sentuh tengah sebesar 12.9 inci.

Ciri lain termasuklah:

  • sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar
  • port pengecasan USB Type-C
  • sistem audio Bose dengan 12-pembesar suara
  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin paparan head-up (HUD)
  • upholsteri kulit Sport Tan
  • tempat duduk pemandu larasan 10-tahap dengan fungsi memori
  • tempat pemandu larasan 6-tahap
  • fungsi pengudaraan untuk tempat duduk depan

Ciri keselamatan

 

Secara standard, CX-5 2026 didatangkan dengan tujuh beg udara, kamera 360 darjah, serta ciri keselamatan termaju termasuklah:

  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Amaran Keluar Kenderaan
  • Amaran Lintasan Trafik Depan & Belakang (FCTA & RCTA)
  • Amaran Keluar Lorong (LDWS)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LAS)
  • Amaran Tumpuan Pemandu (DAA)
  • Sokongan Brek Pintar (SBS)
  • Kawalan Jelajah Radar Mazda (MRCC)