Dengan RM11k sahaja, Toyota GR Kart mudahkan seisi keluarga berjinak dengan sukan permotoran

Toyota Gazoo Racing (GR) telah memperkenalkan GR Kart di Jepun, go-kart perlumbaan peringkat permulaan yang dibangunkan untuk menjadikan sukan go-kart lebih mudah diakses bukan sahaja oleh kanak-kanak, malah seisi keluarga.

Ditawarkan pada harga 385,000 yen (sekitar RM11,000), GR Kart direka untuk memudahkan mereka yang mahu mula berjinak dengan sukan ini, termasuk kos, pengangkutan, penyimpanan dan penyelenggaraan.

Mudah dibawa dengan MPV keluarga

Aspek praktikal menjadi antara fokus utama GR Kart. Dengan ukuran, 1,820 mm panjang, 1,160 mm lebar dan 670 mm tinggi, dengan jarak roda 1,045 mm, serta berat 83 kg, ia boleh dimuatkan ke dalam MPV seperti Toyota Noah dan Voxy tanpa perlu dileraikan.

Ini bermakna pemilik boleh membawanya ke litar menggunakan kenderaan biasa tanpa memerlukan treler atau kenderaan pengangkut khas.

GR Kart juga boleh disimpan secara menegak tanpa perlu mengeluarkan petrol atau minyak enjin terlebih dahulu. Ini kerana sistemnya direka untuk mengurangkan risiko kebocoran ketika kart disimpan dalam kedudukan tersebut.

Bukan itu sahaja, pedal gelongsor dan stereng boleh laras membolehkan GR Kart dipandu oleh mereka yang berketinggian antara 135 cm hingga 185 cm. Kotak ballast yang boleh menampung berat sehingga 15 kg untuk perlumbaan turut disediakan.

Penyelenggaraan lebih mudah

GR Kart dikuasakan enjin empat lejang 215 cc dengan sistem pemacu tali sawat dan penegang automatik, jadi ketegangan tali sawat tidak perlu dilaraskan secara berkala. Enjin itu turut mempunyai bateri terbina dalam yang dicas sendiri.

Karburetor jenis diafragma pula direka untuk mengurangkan kesan perubahan paras bahan api ketika mengambil selekoh, manakala pam primer memudahkan bahan api disalurkan ke karburetor sebelum enjin dihidupkan.

GR turut menggunakan aci gandar belakang keluli tahan karat dan saluran bahan api logam di dalam tangki petrol bagi meningkatkan ketahanan.

Ciri keselamatan untuk pemandu baharu

Aspek keselamatan turut dititikberatkan menerusi ciri seperti bampar belakang yang direka untuk mengelakkan kart lain daripada menaiki tayar belakang ketika berlaku pelanggaran, serta pin penahan hab roda belakang bagi mengelakkan hab tercabut.

Selain itu, tempat duduknya mempunyai bahagian khas untuk meletakkan tangan ketika naik atau turun dari kart, selain membantu melindungi tangan daripada terkena peredam ekzos yang panas.