Honda WR-V 2026 rasmi di Malaysia: ciri dipertingkat, harga dari RM94,900

Honda Malaysia secara rasmi melancarkan SUV Honda WR-V 2026 dengan ciri yang dipertingkatkan.

Tidak seperti penawaran terdahulu, Honda WR-V kini diringkaskan kepada tiga varian dengan harga jualan seperti berikut:

  • WR-V E – RM94,900
  • WR-V V – RM98,900
  • WR-V RS – RM104,900

Ciri dipertingkatkan

Secara standard, kesemua varian kini hadir dengan rim aloi hitam 17 inci.

Varian RS pula mendapat kemasan jeriji hitam baharu disusuli dengan penawaran warna dua tona Blazing Red Pearl (bumbung hitam).

Ruang kabin kini mendapat rekaan papan pemuka yang dikemas kini, serta tempat duduk balutan kulit yang dihiasi jahitan merah.

Selain itu, terdapat juga skrin paparan Display Audio 10-inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Antara ciri lain yang dikekalkan termasuklah:

  • ruang kargo 380 liter
  • tempat duduk belakang nisbah 60:40
  • tiga konfigurasi kargo (Utility Mode/Long Mode/Tall Mode)

Eksklusif untuk varian WR-V RS ialah lampu ambien merah, pengecas peranti tanpa wayar, dan sistem kamera keliling 360°.

Honda SENSING standard

Secara standard, kesemua varian hadir dengan enam beg udara, ciri Honda LaneWatch, kamera undur, serta cagak ISOFIX.

Ciri keselamatan Honda SENSING juga standard untuk ketiga-tiga varian, merangkumi fungsi berikut:

  • Amaran Pelanggaran Depan (FCW)
  • Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Mitigasi Keluar Jalan (RDM)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Suluhan Tinggi (AHB)
  • Notifikasi Pergerakan Kenderaan Hadapan (LCDN)

Enjin dan transmisi

Honda WR-V dipacu enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC menghasilkan kuasa 121 PS dan 145 Nm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 11 saat dengan kelajuan maksimum 160 km/j.