Inokom bangunkan kemudahan pengecatan baharu bernilai RM300 juta

Inokom Corporation Sdn Bhd melancarkan kemudahan pengecatan baharu (Paint Shop 3 atau PS3) di kilang Kulim.

Dengan nilai kira-kira RM300 juta, PS3 merupakan antara pelaburan pemasangan automotif terbesar Sime Darby Berhad setakat ini.

Pelaburan ini bertujuan meletakkan Inokom sebagai rakan pemasangan pilihan bagi ekosistem automotif tempatan dan serantau, selain mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing.

Pembangunan PS3 turut mendapat kerjasama rapat daripada pasukan sokongan teknikal Mazda yang menyediakan pemindahan pengetahuan, latihan dan bimbingan teknikal.

Tingkat kapasiti pengeluaran

Kemudahan ini direka untuk menyokong pengeluaran sehingga 50,000 badan kenderaan bercat setahun berdasarkan operasi dua syif dan kadar 15 unit sejam.

Selain itu, ia juga mempunyai keupayaan mengecat komponen plastik.

Dengan penambahan PS3, jumlah kapasiti gabungan kemudahan pengecatan Inokom kini meningkat kepada 100,000 unit setahun.

Kemudahan ini turut menyokong pelbagai model kenderaan dan fleksibiliti untuk meningkatkan jumlah pengeluaran serta memenuhi keperluan masa depan.

Keupayaan automasi

Antara kelengkapan yang wujud pada fasiliti PS3 ini termasuklah:

  • 32 robot pengecat dan pengedap
  • sistem penukaran warna Cartridge Bell (CBS) automatik
  • sistem pra-rawatan dan elektro-pemendapan (PTED) automatik
  • sistem penghantaran bersepadu

Sistem CBS mampu melakukan penukaran warna dalam tempoh masa kurang 10 saat dan menyokong sehingga 27 variasi warna, bertujuan untuk mengurangkan masa henti operasi dan mengurangkan pembaziran.

PS3 turut mengguna pakai proses pengecatan tiga lapisan satu pembakaran (three-coat, one-bake) yang lebih cekap tenaga dan mampu memendekkan masa tanpa menjejaskan kualiti.

Dari segi kelestarian alam sekitar, PS3 menggunakan pendekatan berikut:

  • sistem Regenerative Thermal Oxidiser (RTO) yang mampu mengurangkan pelepasan CO2 sehingga 60%
  • sistem penapisan dry scrubber untuk mengurangkan keperluan penggunaan air dalam operasi bilik semburan cat
  • penggunaan cat berasaskan air yang lebih mesra alam