BMW iX3 2026 – model pertama Neue Klasse mendarat di Malaysia, harga dari RM379k

BMW Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan SUV terbaharu BMW iX3 2026 untuk pasaran tempatan.

Ia juga merupakan model pertama daripada portfolio Neue Klasse yang memasuki pasaran Malaysia.

Varian tunggal iX3 50 xDrive M Sport Pro ini dijual pada harga bermula dari RM378,800, atau RM399,800 termasuk pakej BMW Service and Repair.

Dimensi

Dibina atas pelantar Neue Klasse, BMW iX3 ini membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,781 mm, lebar 1,895 mm, tinggi 1,635 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,897 mm.

Ruang kargo pula adalah sebesar 520 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,750 liter.

Secara standard, SUV ini dibekalkan dengan rim aloi ringan jejari-Y 1054 M bersaiz 22 inci.

Unit pacuan

iX3 menampilkan senibina elektrik 800V, dengan teknologi eDrive generasi keenam terdiri daripada:

  • motor elektrik berkembar
  • kuasa 469 hp dan 645 Nm
  • transmisi automatik kelajuan tunggal
  • sistem pacuan semua roda xDrive

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.

Bateri & pengecasan

Pek bateri berkapasiti 108.7 kWh pula menawarkan jarak pandu WLTP sehingga 805 km.

Dengan pengecasan DC sehingga 400 kW, iX3 boleh menambah jarak 372 km dalam masa hanya 10 minit sahaja.

SUV ini menawarkan kadar penggunaan tenaga sekitar 15.1 kWh untuk setiap 100 km, dibantu dengan angka pekali seretan serendah 0.24 sahaja.

Kelengkapan

Berbeza dengan model terdahulu, iX3 membawakan penampilan yang jauh lebih berani dan menonjol.

Bahagian depan menampilkan struktur jeriji buah pinggang ikonik dengan ciri BMW Iconic Glow menggantikan peranan krom.

Ciri lain termasuklah pemegang pintu terbenam, lampu LED depan dan belakang, pakej M Sport termasuklah sistem brek M Sport dengan kemasan merah berkilat.

Ruang kabin pula menempatkan ciri BMW Panoramic iDrive terdiri daripada skrin lebar 43.3 inci yang terletak di dasar tiang A, skrin paparan head-up 3D, serta skrin tengah sebesar 17.9 inci.

Terdapat juga roda stereng M lengkap dengan kawalan Shy Tech dan fungsi pemanas, sistem pencahayaan ambien, slot pengecasan tanpa wayar serta kemasan dalaman M Black.

Akhir sekali, tempat duduk M Sport untuk pemandu dan penumpang hadapan lengkap dengan larasan elektrik, fungsi memori, fungsi urut, pemanasan dan pengudaraan serta ciri Comfort Access.

Aspek keselamatan terdiri daripada kelengkapan Driving Assistant Plus dan Parking Assistant Professional.

Warna

Terdapat enam pilihan warna disediakan untuk BMW iX3 termasuklah:

  • Alpine White
  • Black Sapphire
  • M Brooklyn Grey
  • Space Silver
  • Ocean Wave Blue
  • Polarised Grey

Kesemua warna ini dipadankan dengan kemasan dalaman hitam BMW M Interior Design.