Geely dan Ford kembali, JV di Valencia, keluarkan 5 model!

Geely Automobile Holdings (Geely Auto) dan Ford Motor Company mengumumkan penubuhan usaha sama (joint venture atau JV).

Usaha sama itu akan menjadikan kilang Ford di Valencia, Sepanyol sebagai hab pengeluaran bersama bagi pasaran Eropah.

Kerjasama tersebut melibatkan pengeluaran model Ford dan Geely, selain menyokong pembangunan kenderaan generasi baharu yang menggunakan teknologi multi-energy dan elektrik.

Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, JV itu dijangka memulakan operasi pada separuh pertama 2027.

Model pertama pula dijadual memasuki barisan pengeluaran pada 2028.

Kilang Valencia jadi hab pengeluaran bersama

Menerusi kerjasama ini, kemudahan Ford di Valencia akan ditukar menjadi hab pembuatan berteknologi tinggi yang dikongsi oleh kedua-dua syarikat.

Kilang berkenaan sudah pun diiktiraf sebagai antara kemudahan automotif paling moden dan produktif di Eropah, dengan kapasiti pengeluaran berpotensi sekitar 500,000 unit setahun.

Geely Auto dan Ford berkata, perkongsian kapasiti pengeluaran serta kos pembangunan akan membantu meningkatkan kecekapan operasi.

Pada masa sama, ia dijangka memberikan kestabilan jangka panjang serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja automotif di Valencia.

Mengikut struktur pemilikan yang dicadangkan, Geely Auto akan memiliki 34 peratus pegangan dalam entiti baharu itu, manakala Ford memegang baki 66 peratus.

Lima model baharu dirancang bermula 2028

Usaha sama itu dijangka menghasilkan tiga model Ford yang menggunakan teknologi multi-energy serta dua model elektrik Geely.

Semua model berkenaan disasarkan untuk pasaran Eropah.

Geely Auto turut mengesahkan dua model tenaga baharunya akan dikeluarkan di Valencia, dengan model pertama dijadual memasuki barisan pengeluaran pada 2028.

Sokong pengembangan Geely di Eropah

Menurut Geely Auto, kerjasama itu menyokong strategi pengembangan antarabangsa syarikat.

Pada separuh pertama 2026, Geely Auto merekodkan jualan luar negara sebanyak 474,228 unit, meningkat 158 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Prestasi itu menjadikan Geely antara jenama automotif China yang mencatat pertumbuhan terpantas di pasaran global.

Hubungan yang terjalin sejak 2010

Geely Auto berkata, kerjasama dengan Ford dibina atas asas kepercayaan dan saling menghormati yang terjalin sejak 2010.

Pada tahun itu, Ford menjual Volvo Cars kepada Geely dan menyaksikan syarikat itu melindungi serta menghidupkan semula jenama berkenaan.

Menurut Geely Auto, kedua-dua syarikat turut berkongsi komitmen terhadap penghasilan kenderaan berkualiti, perolehan yang cekap dari segi kos serta penambahbaikan berterusan.

Kedua-dua pihak juga percaya pengguna perlu diberikan kebebasan memilih laluan masing-masing dalam peralihan kepada teknologi tenaga baharu.

Geely dan Ford optimis terhadap kerjasama baharu

Naib Presiden Geely Auto Group, Alex Nan berkata, kerjasama strategik itu merupakan langkah penting ke arah kerjasama terbuka yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Beliau menyifatkan usaha sama itu sebagai satu pencapaian penting dalam pembangunan global Geely Auto dan akan terus mengukuhkan kehadiran syarikat di Eropah.

Menurut beliau, Geely komited menawarkan kenderaan yang dipilih pelanggan berdasarkan ciri peneraju industri, kualiti tinggi serta sumbangan kepada masa depan hijau Eropah.

Sementara itu, Presiden Ford Europe, Jim Baumbick berkata, kilang Valencia telah menghasilkan antara model paling dikenali Ford selama hampir 50 tahun.

Menurut beliau, kerjasama bersama Geely Auto akan membantu Ford membangunkan sistem perindustrian yang lebih fleksibel dan cekap dari segi kos.

Beliau berkata, kedua-dua syarikat dapat memanfaatkan sepenuhnya keupayaan kilang Valencia dan tenaga kerjanya.