Perlumbaan maya 12 Hours of Spa berlangsung 18 Julai ini, himpun pelumba terbaik Asia

12 Hours of Spa eRacing GP

eRacing GP mengumumkan penganjuran perlumbaan endurans 12 Hours of Spa secara maya yang akan diadakan esok (18 Julai) bertempat di Litar Spa-Francorchamps.

Ia bakal menghimpunkan pasukan sim racing terbaik dari seluruh Asia.

Takluk litar ikonik dunia

Litar Spa-Francorchamps merupakan salah satu litar ikonik dalam dunia sukan permotoran.

Perlumbaan khas ini menuntut peserta untuk berdepan perlumbaan 12 jam tanpa henti menerusi strategi serta pertukaran pemandu yang lancar.

Selain itu, mereka juga perlu berdepan dengan perubahan kondisi trek dan selekoh lagenda seperti Eau Rouge, Raidillon dan Blanchimont.

Perlumbaan 12 jam ini akan bermula jam 11.00 pagi 18 Julai dan disiarkan secara langsung menerusi saluran media sosial eRacing GP.

Persaingan lima negara

Acara yang paling dinantikan dalam kalendar eRacing GP ini bakal disertai lebih 30 pasukan daripada lima negara.

Antara nama-nama yang perlu diberi perhatian termasuklah Aleef Hamilton, pelumba sim terbaik Singapura yang akan bergandingan dengan Alister Yoong (Malaysia).

Ia juga turut disertai oleh juara musim lalu, Apex Racing Brunei sementara Thailand pula diwakili OVERME.team yang diketuai pelumba terkenal Thanprasit Sartsuk.

Malaysia menerusi Pepega Racing menurunkan tiga pasukan yang turut disertai oleh bekas pelumba Toyota Gazoo Racing Rookies, iaitu Justin Rahul Dev dan Genevieve Ooi – satu-satunya pelumba wanita di grid.

Tiga kelas utama

Perlumbaan ini menampilkan tiga kelas utama, iaitu:

  • Hypercars (GTP)
  • LMP2
  • GT3

Kelas Hypercars (GTP) menyediakan pilihan jentera lumba BMW M Hybrid V8, Cadillac V-Series.R GTP, Ferrari 499P dan Porsche 963 GTP.

Kelas LMP2 pula menggunakan Dallara P217.

Sementara kategori GT3 menawarkan enam pilihan jentera lumba seperti BMW M4 GT3 EVO, Corvette Z06 GT3.R, Ferrari 296 GT3, McLaren 720S GT3 EVO, Mercedes-AMG GT3 (2020) dan Porsche 911 GT3 R (992).

Menurut Alex Yoong, pengasas eRacing GP berkata, “Perlumbaan endurans adalah cabaran tertinggi dalam sukan permotoran.

“Acara seperti ini bukan sekadar tentang kelajuan, tetapi juga kerja berpasukan, persediaan, dan ketahanan,” ujarnya lagi.

Sokongan daripada Royal Selangor

Acara perlumbaan tahun ini mendapat sokongan daripada Royal Selangor, jenama pewter terkemuka dunia.

Selain mata kejuaraan dan pengiktirafan, para peserta akan turut merebut trofi Royal Selangor edisi khas.

Menurut Hilda Razali, Ketua Pemasaran Global Royal Selangor International, “Kerjasama Royal Selangor dengan eRacing GP mencerminkan nilai yang dikongsi antara pertukangan tradisional dan sukan permotoran moden – dedikasi, ketelitian dan usaha mencapai kesempurnaan.”

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved