Bugatti W16 Mistral 2026: Pengeluaran berakhir selepas 99 unit!

Bugatti secara rasmi menamatkan pengeluaran W16 Mistral apabila unit ke-99 dan terakhir selesai dibina di Atelier Bugatti di Molsheim, Perancis.

Kereta sport hiper bumbung terbuka itu menjadi model jalan raya terakhir yang menggunakan enjin ikonik W16 Bugatti.

Ia sekali gus menutup kisah enjin berkenaan yang bermula menerusi Veyron, diteruskan oleh Chiron dan diakhiri oleh W16 Mistral.

Unit terakhir tersebut menerima kemasan dua tona Pearl dan Sparkle sebagai penghormatan kepada statusnya sebagai W16 Mistral terakhir yang dihasilkan.

Model ini turut membawa slogan “The last of its kind” sejak diperkenalkan pada 2022.

Penamat era W16, permulaan era Tourbillon

Pengeluaran W16 Mistral berakhir beberapa hari selepas Bugatti merasmikan La Manufacture, fasiliti baharu yang pusat pengeluaran Tourbillon di Molsheim.

Perkembangan itu menandakan berakhirnya satu bab dalam sejarah Bugatti, manakala syarikat itu kini bersedia memasuki era baharu menerusi kereta hiper generasi terbaru.

W16 Mistral diperkenalkan sempena Monterey Car Week 2022 sebelum dibawa ke beberapa negara termasuk Jepun, Singapura, Riyadh dan Dubai.

Kereta produksi bumbung terbuka terpantas di dunia

Sebelum pengeluaran bermula, W16 Mistral terlebih dahulu mencipta sejarah automotif pada November 2024.

Ketika itu, pemandu rasmi Bugatti, Andy Wallace, memandu W16 Mistral World Record Car sehingga mencapai kelajuan 453.91 km/j di ATP Automotive Testing Papenburg.

Catatan tersebut menjadikan W16 Mistral sebagai kereta produksi bumbung terbuka terpantas di dunia dan penutup yang sempurna sebelum pengeluaran bermula pada awal 2025.

Pada Silverstone Grand Prix 2026, kereta yang sama diserahkan secara rasmi kepada pemilik dan menjadi satu lagi detik penting dalam perjalanan model berkenaan.

Setiap W16 Mistral dihasilkan mengikut cita rasa pemilik

W16 Mistral antara model yang paling menonjol dalam program Sur Mesure Bugatti.

Pasukan Sur Mesure di Molsheim dan Berlin bekerjasama rapat dengan pelanggan bagi memahami kehendak serta aspirasi mereka sebelum menghasilkan interpretasi yang benar-benar unik.

Hasilnya, tiada dua buah W16 Mistral mempunyai spesifikasi yang sama.

Pada awal Julai, Bugatti memperkenalkan W16 Mistral Blanc Éternel, sebuah model one-off yang menggabungkan ketepatan reka bentuk digital dengan hasil kerja tangan yang teliti.

Model itu turut menampilkan elemen porselin hasil kepakaran Königliche Porzellan-Manufaktur Berlin (KPM Berlin), sekali gus mencerminkan visi pelanggan menerusi setiap perincian reka bentuk.

Unit terakhir sarat dengan elemen warisan Bugatti

Inspirasi utama W16 Mistral diambil daripada Type 57 Roadster Grand Raid.

Bagi unit terakhir, Bugatti memilih untuk memberi penghormatan kepada W16 Mistral sendiri menerusi tema “The last of its kind”, yang merujuk kepada model jalan raya terakhir menggunakan enjin W16.

Di dalam kabin, sebuah plat khas memaparkan slogan tersebut bersama bayangan W16 Mistral sebagai simbol kepada pengakhiran sebuah era.

Bahagian luar dipadankan dengan warna Pearl dan Sparkle, manakala ruang dalaman menggunakan kombinasi Magnolia dan Grey Carbon Matt.

Reka bentuk keseluruhannya turut mengimbau kembali visi Ferdinand Piëch ketika menghidupkan semula Bugatti moden.

Beliau mahu menghasilkan sebuah kereta yang mampu melepasi 400 km/j, namun masih cukup tenang untuk dipandu ke opera pada malam yang sama.

Penghormatan kepada Ettore Bugatti

Pemilik turut mahu mengabadikan legasi Ettore Bugatti, pengasas Bugatti yang menjadikan Molsheim sebagai kediaman jenama itu pada 1909.

Tandatangan Ettore dijahit pada perehat kepala tempat duduk, diukir pada ambang pintu aluminium dan menggantikan tandatangan Bugatti pada bahagian dalam penutup enjin.

Hubungan antara sejarah dan era moden Bugatti diteruskan menerusi plak pada perehat tangan yang dihasilkan bersama Lalique.

Diperbuat daripada kristal beku dan dinamakan Spirit of the Wind, plak tersebut mengimbau kerjasama antara Ettore Bugatti dan René Lalique.

Ia juga menyerupai arca yang diberikan kepada pelanggan ketika mereka menempah W16 Mistral mengikut cita rasa masing-masing.

Sentuhan khas untuk pemilik dari Timur Tengah

Dengan kerjasama Pengurus Sur Mesure dan Individualization Bugatti, Jascha Straub serta Bugatti Riyadh, pemilik turut menambah satu lagi sentuhan peribadi.

Arca kepala burung helang menggantikan arca gajah ikonik Bugatti pada tuil gear sebagai penghormatan kepada haiwan yang mempunyai nilai istimewa di Timur Tengah.

Motif burung helang yang disulam menggunakan benang Anthracite turut menghiasi panel pintu, melengkapkan identiti unik kereta tersebut.

99 unit menutup legasi enjin W16

Dengan siapnya unit terakhir ini, pengeluaran W16 Mistral secara rasmi berakhir selepas hanya 99 unit dibina.

Setiap sebuah dihasilkan mengikut kehendak pemilik menerusi program Sur Mesure, sekali gus membawa falsafah enjin W16 yang telah menjadi identiti Bugatti selama hampir dua dekad.