Prestasi Perodua Ativa yang hebat daripada Januari hingga Jun tahun 2025 (1H) nampaknya tidak berjaya diulangi pada tahun ini.
Bulan lalu, kami melaporkan bagaimana Ativa berjaya memintas pendaftaran bulanan Traz pada bulan Mei.
Ativa kembali berada di tangga kesepuluh carta pendaftaran terkumpul (YTD) namun kedudukan itu tidak bertahan lama.
Memasuki data penutup H1 2026, Ativa terpaksa akur apabila terkeluar terus daripada kelompok 10 pendaftaran tertinggi di Malaysia.
Tempat Ativa kini digantikan oleh saudara baharu, Perodua Traz.
Penurunan Ketara Ativa: Perbandingan 1H 2025 vs 1H 2026
Jika menyingkap kembali prestasi separuh pertama tahun lalu, Ativa merupakan antara watak utama yang mendominasi carta dengan angka pendaftaran yang sangat kukuh.
Namun, dalam tempoh setahun sahaja, angka tersebut merosot dengan sangat ketara.
Berikut adalah perbandingan prestasi pendaftaran terkumpul (YTD) Ativa bagi tempoh Januari hingga Jun:
- Januari – Jun 2025 (1H 2025): Ativa berada di tangga No. 6 keseluruhan dengan jumlah 16,740 unit.
- Januari – Jun 2026 (1H 2026): Ativa jatuh ke tangga No. 11 keseluruhan dengan jumlah 10,110 unit.
Kehilangan sebanyak 6,630 unit (kemerosotan hampir 39.6%) dalam tempoh setahun ini memberi isyarat jelas bahawa perhatian pembeli sedang beralih arah.
Meskipun tidak berada dalam kelompok sepuluh teratas 1H 2026, Ativa sebenarnya berjaya menduduki tempat kesepuluh pendaftaran tertinggi bulan Jun 2026 dengan 1,834 unit.
Traz pula satu tangga di atas sebanyak 1,904 unit.
Perodua Traz Ambil Alih Tugas Sebagai Senjata Utama
Sebab utama di sebalik kemerosotan ini tidak lain tidak bukan adalah kehadiran Perodua Traz.
SUV kompak terbaharu Perodua yang dipacu enjin 1.5L aspirasi natural (NA) ternyata berjaya memikat pembeli yang mahukan praktikaliti mesra keluarga.
Setakat 1H 2026, Traz berjaya memintas Ativa untuk berada di dalam kelompok 10 teratas:
- Perodua Traz (No. 9 YTD): 10,753 unit
- Perodua Ativa (No. 11 YTD): 10,110 unit
Persaingan antara kedua-dua saudara ini sebenarnya masih sangat sengit apabila Traz berjaya memintas Ativa dengan jurang yang tipis, iaitu sebanyak 643 unit sahaja.
Ativa dilihat masih unggul dengan sesaran enjin kecil tetapi bertenaga, harga menarik dan pakej keselamatan yang lebih lengkap berbanding Traz.
Seteru utama mereka, Proton X50, pula kekal selesa menerajui segmen di tangga ke-6 keseluruhan dengan 13,646 unit.
Strategi Dua Penjuru Perodua Bakal Digugat SUV Baharu Proton?
Walaupun Ativa terkeluar daripada kedudukan 10 pendaftaran tertinggi, strategi dua penjuru Perodua sebenarnya masih berjalan lancar.
Gabungan pendaftaran terkumpul duo SUV kompak ini (Traz + Ativa) telah mencecah 20,863 unit bagi separuh pertama 2026.
Pendaftaran Traz sebanyak 1,904 unit dan Ativa dengan 1,834 unit pada Jun begitu rapat mengikuti X50 sebanyak 2,016 unit.
Angka pendaftaran SUV Perodua jauh meninggalkan X50 dengan jumlah 13,646 unit sekali gus membantu Perodua mengekalkan cengkaman sebagai raja automotif tanah air.
Di sebalik gandingan tersebut, Proton sebenarnya sedang giat menyiapkan SUV baharu yang kerap disebut sebagai Saga Cross.
Mampukah Proton menyaingi Perodua selepas ini? Persaingan di antara gergasi pengeluar kebangsaan semakin menarik!
Sumber Data: data.gov.my
