Inilah dia jawapan Ferrari untuk para peminat yang mendambakan sebuah supercar bertransmisi manual – Ferrari 12Cilindri Manuale.
Bunyi macam Ferrari cuba untuk mengembalikan nostalgia sejak produksi model manual terakhir (599 GTB) tamat pada tahun 2012.
Resepi asas kekal, cuma kawalan berbeza
Menerusi model 12Cilindri Manuale, Ferrari mengekalkan resepi asas sebuah jentera Prancing Horse, iaitu nadi bentangan V12 aspirasi semula jadi (NA), kotak gear klac berkembar (DCT) dan pacuan roda belakang (RWD).
Enjin tersebut masih mampu menjana kuasa setinggi 819 hp dan 678 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat.
Cuma, cara pemandu mengawal jentera ini sedikit berbeza.
Tidak seperti jentera 12Cilindri sedia ada, 12Cilindri Manuale diberikan perkakasan yang diidamkan pemandu manual sejati:
- konsol tengah gated shifter
- tombol aluminium bulat klasik
- tetapan tiga pedal
Susun atur kabin juga telah disemak semula (termasuk terowong tengah dan aspek ergonomik) bertujuan untuk menjadikan pemanduan lebih mengujakan.
Manuale-by-Wire
Sistem penukaran gear pada 12Cilindri dinamakan sebagai Manuale-by-Wire, dan ia tidak langsung mempunyai sambungan mekanikal antara tombol gear, pedal klac dan transmisi.
Menerusi sistem ini, input daripada pedal klac dan kedudukan tombol gear akan dihantar secara elektronik kepada unit kawalan transmisi untuk mengubah gear yang dipilih.
Bayangkan sebuah sim rig yang biasanya digunakan untuk perlumbaan maya, tapi kali ini ianya lebih realistik.
Mekanisme penukaran gear dan pedal klac direka supaya menyamai rintangan yang dirasakan oleh pemandu pada sistem manual sebenar.
Sama seperti kereta manual konvensional:
- sekiranya klac diangkat terlalu awal enjin boleh tersentak atau mati
- jika pemandu berjaya melakukan penukaran gear dengan tepat, pemanduan akan menjadi lebih lancar
Ia turut mempunyai mekanisme keselamatan yang menghalang pemandu daripada membuat penukaran gear yang tidak dibenarkan (dalam erti kata lain: money shift).
Mod pemanduan manual (gear 1-6) ini boleh digunakan pada kelajuan dibawah 100 km/j, dengan syarat klac perlu ditekan setiap kali gear ditukar.
Sekiranya sudah puas menikmati pemanduan manual, pemandu boleh bertukar kepada mod automatik pada bila-bila masa.
Untuk menjadikan pengalaman yang lebih asli, Ferrari 12Cilindri Manuale tidak menyertakan paddle shifter di sebalik stereng.
Unit terhad
Ferrari 12Cilindri Manuale hanya akan diproduksikan sebanyak 1,499 unit sebagai satu rujukan kepada angka sesaran enjin 12 silinder pertama Ferrari yang dihasilkan pada tahun 1947.
Setiap satu 12Cilindri Manuale akan ditawarkan menerusi program Tailor Made.
Ini bermakna, setiap satu jentera ‘manual’ ini mempunyai kelengkapan dan spesifikasi yang berbeza antara satu sama lain.
Di Eropah, 12Cilindri Manuale dijual pada harga bermula dari €590,000 (RM2.7 juta).
