Pelajar UiTM menang cabutan bertuah P-Circle, bawa pulang Myvi baru!

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nik Akmal Afifah binti Nik Mohd Fuad, 22 tahun, dipilih sebagai pemenang hadiah utama Cabutan Bertuah P-Circle yang berlangsung baru-baru ini di KLIMS 2026.

Sepanjang tempoh 12-21 Jun 2026, pertandingan tersebut menyaksikan ribuan pengunjung memuat turun aplikasi super P-Circle dan mengaktifkan ciri e-wallet (P-Duit).

P-Circle merupakan aplikasi super yang menawarkan servis yang komprehensif merangkumi P-Duit, ciri kesihatan, ciri keselamatan, jual beli dalam talian serta platform penstrimannya sendiri.

Aplikasi ini kini tersedia di App Store dan Google Play Store.

Maklum balas positif

Menurut Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, “Secara keseluruhannya, penyertaan kami di KLIMS 2026 mendapat maklum balas yang amat memberangsangkan.

“Seramai 37,786 pengunjung berdaftar di reruai kami dan mencuba pelbagai tarikan yang disediakan semasa pameran itu berlangsung.

“Pertandingan Cabutan Bertuah P-Circle ini juga menarik perhatian ramai generasi muda dan Nik Akmal Afifah adalah pemenang bertuah yang terpilih,” tambahnya lagi.

Nik Akmal Afifah membawa pulang sebuah Perodua Myvi 1.3G berwarna Ivory White.

“Sudah tentu kereta ini lebih baik daripada Perodua Axia yang saya pandu pada masa ini. Terima kasih Perodua. Anda memang terbaik!,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan hadiah di ibu pejabat Perodua pada 3 Julai lalu.

Selain daripada Perodua Myvi sebagai hadiah utama, Perodua turut menyerahkan 100 unit jam pintar P-Go kepada pemenang cabutan bertuah yang lain.

Perodua turut mempamerkan kereta konsep terbaharunya yang dinamakan Chapter 2 atau C2.

Konsep tersebut mewakili gaya reka bentuk berbeza, dilengkapi dengan teknologi terbaharu serta dicipta oleh pereka muda dan berbakat yang mencerminkan visi mereka terhadap masa depan kenderaan elektrik.