Jualan luar negara Geely Auto Group melonjak 158% pada H1 2026!

Geely Auto Group mencatat prestasi terbaik dalam sejarah syarikat bagi separuh pertama 2026 apabila merekodkan jumlah jualan global sebanyak 1,422,958 unit kenderaan.

Prestasi itu dipacu oleh pertumbuhan kukuh di pasaran antarabangsa menerusi strategi One Geely, yang menyaksikan jenama Geely, Lynk & Co dan Zeekr terus mengembangkan operasi di lebih banyak negara.

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, jualan luar negara Geely Auto mencapai 474,228 unit, meningkat 158 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu turut melepasi keseluruhan jualan luar negara yang dicatatkan sepanjang 2025.

Lebih memberangsangkan, jualan kenderaan tenaga baharu (NEV) di luar negara meningkat kepada 277,189 unit, iaitu lonjakan 585 peratus tahun ke tahun.

Model NEV kini menyumbang 59 peratus daripada keseluruhan jualan luar negara syarikat.

Pada Jun 2026, Geely Auto turut mencipta rekod baharu apabila jualan luar negara melepasi 100,000 unit buat kali pertama dalam tempoh sebulan.

Beribu pejabat di Hangzhou, China, Geely Auto Group merupakan antara syarikat automotif global terkemuka yang membangunkan dan mengeluarkan kenderaan penumpang untuk pasaran antarabangsa.

Geely Auto Group adalah sebahagian daripada Zhejiang Geely Holding Group dan memiliki tiga jenama utama dalam portfolio automotif iaitu Geely, Lynk & Co serta Zeekr

Jenama Geely terus berkembang di Eropah

Geely memacu pengembangan global pada separuh pertama 2026, dengan Eropah serta kenderaan tenaga baharu menjadi dua enjin utama pertumbuhan.

Dalam tempoh hanya 45 hari, Geely memasuki tujuh pasaran Eropah, termasuk:

  • Jerman
  • Sepanyol
  • Belanda
  • Perancis

Geely E5 (Geely EX5) dan Geely STARRAY EM-i (Geely EX5 EM-i) kini telah diperkenalkan di lebih daripada 20 negara Eropah.

Di pasaran tempatan, dua model itu masing-masing dikenali sebagai Proton e.MAS 7 dan. e.MAS 7 PHEV.

Selain itu, Geely turut mengukuhkan rangkaian pengedar menerusi kerjasama bersama kumpulan pengedar utama di Portugal, Austria dan Switzerland.

Di pasaran antarabangsa lain, EX2 (Proton e.MAS 5) terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan Brazil muncul sebagai pasaran paling menyerlah.

STARRAY EM-i pula menjadi SUV PHEV paling laris di Australia pada Mei 2026.

Lynk & Co terus melebarkan sayap

Lynk & Co turut giat meluaskan pasaran global menerusi beberapa pelancaran model baharu.

Model utama Lynk & Co 900 diperkenalkan di:

  • Emiriah Arab Bersatu (UAE)
  • Mesir
  • Qatar
  • Vietnam

Sementara itu, Lynk & Co 08 dilancarkan di Kazakhstan dan penghantaran kepada pelanggan telah bermula.

Model itu turut muncul sebagai PHEV segmen D paling laris di beberapa pasaran utama seperti Vietnam dan Mexico.

Zeekr lepasi 800,000 penghantaran global

Jenama premium elektrik Zeekr pula mencatat satu lagi pencapaian penting apabila jumlah penghantaran global keseluruhan melepasi 800,000 unit.

Bagi tempoh lima bulan pertama 2026, Zeekr menguasai pasaran kenderaan mewah di Hong Kong dengan pegangan pasaran sebanyak 40.7 peratus.

Beberapa model turut mencatat prestasi cemerlang:

  • Zeekr 7X mendahului segmen SUV mewah di Hong Kong sepanjang lima bulan pertama 2026.
  • Model sama turut menduduki tempat pertama dalam segmen EV mewah di Mexico bagi April dan Mei 2026.
  • Zeekr 009 menjadi MPV elektrik paling laris di Thailand sepanjang lima bulan pertama tahun ini.

Rangkaian operasi global terus diperkukuh

Seiring pertumbuhan jualan, Geely Auto turut meningkatkan keupayaan operasi global sepanjang separuh pertama 2026.

Antara langkah yang dilaksanakan ialah:

  • Mengembangkan rangkaian pusat pengedaran alat ganti global kepada 13 fasiliti.
  • Mempercepatkan pembangunan pengeluaran tempatan di pasaran utama seperti Brazil dan Indonesia.
  • Mengukuhkan rangkaian lebih 2,000 pusat jualan serta servis di lebih 100 pasaran seluruh dunia.

Menurut Geely Auto, pelaburan berterusan mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat untuk menawarkan produk, perkhidmatan dan pengalaman pelanggan yang disesuaikan mengikut keperluan setiap pasaran.