Awas Buaya! Alpine A290 Rallye 2026 hasil kerjasama Lacoste

Lacoste dan Alpine memperkenalkan sebuah model one-off dikenali sebagai Beware of the Crocodile – Alpine Lacoste A290 Rallye.

Projek itu menggabungkan dunia fesyen dan sukan permotoran menerusi sebuah jentera yang menampilkan prestasi, rekaan serta identiti kedua dua jenama Perancis tersebut.

Selain menghasilkan kereta unik, kerjasama ini turut melahirkan koleksi pakaian eksklusif yang mengambil inspirasi daripada dunia perlumbaan dan tenis.

Berasaskan Alpine A290 Rallye

Model ini dibangunkan menggunakan Alpine A290 Rallye, iaitu versi paling ekstrem dalam keluarga A290.

Alpine memilih platform tersebut bagi memastikan projek ini menjadi sebuah jentera rali sebenar dan bukannya sekadar gaya.

A290 Rallye dibangunkan untuk perlumbaan rali pelanggan sebagai sebahagian daripada komitmen Alpine dalam sukan permotoran elektrik.

Ia turut mewakili generasi baharu jentera prestasi yang lebih kompak, lincah dan mudah diakses.

Inspirasi daripada identiti Lacoste

Nama Beware of the Crocodile diambil daripada logo ikonik Lacoste. Keseluruhan konsep rekaan bermula daripada warna merah pada lidah buaya yang menjadi simbol jenama tersebut.

Bahagian luaran menampilkan trek roda lebih lebar, arca badan yang lebih menonjol, difuser besar, saluran udara pada bumbung, spoiler bersaiz besar serta penggunaan gentian karbon terdedah.

Lampu hadapan pula diberikan sentuhan yang menyerupai pandangan mata seekor buaya.

Kemasan badan menggunakan warna putih kebiruan yang diinspirasikan daripada salji, ais dan landskap Alpine.

BEWARE OF THE CROCODILE – ALPINE LACOSTE A290 RALLYE

Dibangunkan sebagai jentera rali

Menurut Alpine, projek ini mengekalkan karakter sebuah kereta rali sebenar sambil menggabungkan identiti reka bentuk Lacoste.

Model one-off ini mengekalkan asas teknikal Alpine A290 Rallye seperti berikut:

  • Casis yang dioptimumkan untuk meningkatkan ketegaran dan ketepatan pemanduan.
  • Suspensi khas untuk kegunaan rali.
  • Trek roda lebih lebar bagi meningkatkan kestabilan dan cengkaman.
  • Aerodinamik berfungsi untuk membantu penyejukan serta menghasilkan daya mendap.
  • Talaan khas trenkuasa elektrik yang memberikan tindak balas segera dan pecutan pantas.
  • Tetapan elektronik khusus bagi memastikan prestasi kekal konsisten.
  • Sistem brek diperkukuhkan bersama talaan yang memfokuskan ketepatan pengendalian.

Kabin bertemakan merah

Bahagian dalaman menggunakan tema monokrom merah bagi mewujudkan suasana seolah-olah pemandu berada di dalam mulut seekor buaya.

Di bahagian belakang kabin terdapat ilustrasi seekor buaya yang seolah-olah mengejar masa. Pemandu pula digelar sebagai Crocopilot.

Tempat duduk dan panel pintu menggunakan fabrik petit piqué yang sinonim dengan Lacoste.

Sulaman dihasilkan oleh Potencier, bengkel yang turut menghasilkan logo buaya bersulam pada baju polo Lacoste.

Kabin turut menerima logo Alpine x Lacoste, kemasan merah beranod dan komponen tempat duduk yang dihasilkan menggunakan teknologi cetakan 3D oleh ERPRO.

Menurut Alpine, teknologi itu membolehkan komponen menjadi lebih ringan tanpa menjejaskan keselesaan dan prestasi.

Menariknya, sebanyak 290 logo buaya disepadukan ke dalam keseluruhan reka bentuk kenderaan.

Koleksi eksklusif Lacoste dan Alpine

COLLECTION CAPSULE- VESTE IMPERMEABLE

Lacoste dan Alpine turut memperkenalkan koleksi pakaian eksklusif yang menggabungkan inspirasi daripada gelanggang tenis dan litar perlumbaan.

Koleksi tersebut merangkumi baju polo, kemeja T, pakaian teknikal ringan, aksesori serta produk berjenama bersama.

Kesemuanya direka bagi menampilkan gabungan prestasi, fungsi, ketelitian dan gaya yang menjadi identiti kedua dua jenama.

BEWARE OF THE CROCODILE – ALPINE LACOSTE A290 RALLYE