NIZRA Auto baru-baru ini meraikan pembukaan rasmi bilik pameran Jetour Damansara yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail.
Terletak di kawasan strategik, bilik pameran baharu ini mengukuhkan lagi kehadiran Jetour di salah satu koridor automotif paling matang di Lembah Klang.
Majlis perasmian turut dihadiri Nicholas Ng, Naib Presiden Jetour Malaysia serta Nik Iruwan Dato’ Nik Izani, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NIZRA Group Berhad.
Detik bermakna
Berucap pada majlis tersebut, Nik Iruwan menyifatkan pembukaan ini satu detik bermakna buat NIZRA Auto dan Jetour Malaysia.
“Bilik pameran ini melambangkan keyakinan. Keyakinan terhadap pasaran Malaysia, jenama Jetour dan kerjasama antara Jetour Malaysia dan NIZRA Auto.
“Secara peribadi, ia lebih istimewa kerana saya membesar di kawasan TTDI dan Damansara, dan ia merupakan satu kebanggaan kerana membuka bilik pameran di tempat yang saya anggap sebagai rumah.
Keyakinan terhadap jenama Jetour
Nik Iruwan turut berkongsi keyakinannya terhadap jenama Jetour selepas melawat fasiliti Jetour di Fuzhou dua tahun lepas.
“Yang mengkagumkan bukan sekadar produk, tapi pemikiran dan kejuruteraan di sebaliknya.
“Rekaan teknologi, ciri keselamatan dan pengalaman pemanduan menunjukkan Jetour mampu bersaing di pentas global.
“Saya juga kagum dengan skala dan kecanggihan fasiliti pengeluarannya. Tahap automasi, kapasiti produksi dan komitmen terhadap kualiti benar‑benar meyakinkan kami bahawa Jetour mempunyai masa depan kukuh, dan NIZRA mahu menjadi sebahagian daripada perjalanan itu,” jelasnya lagi.
Jetour kini merupakan antara jenama SUV paling pesat berkembang di Malaysia yang dipacu oleh model seperti Jetour T2 dan T1 serba baharu.
NIZRA Auto turut menegaskan komitmen mereka untuk menyokong pertumbuhan Jetour melalui peluasan rangkaian, peningkatan pengalaman pelanggan dan pelaburan dalam keupayaan selepas jualan.
Jetour Damansara disokong oleh pusat servis khusus berdekatan bagi memastikan pemilik menerima sokongan menyeluruh sepanjang tempoh pemilikan.
Lancar kempen keselamatan jalan raya
Dalam masa yang sama, NIZRA Auto turut melancarkan Kempen Tindakan Keselamatan Jalan Raya NIZRA.
Kempen ini mencerminkan komitmen syarikat dalam mempromosikan penggunaan jalan raya yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
“Sebagai syarikat yang terlibat dalam mobiliti, tanggungjawab kami lebih daripada sekadar menjual kenderaan.
“Kami mahu memainkan peranan dalam memupuk kesedaran, pendidikan dan tabiat pemanduan yang menyumbang kepada jalan raya lebih selamat untuk semua,” kata Nik Iruwan.
