Audi Nuvolari 2027 diperkenalkan – V8 hibrid 1,001 PS, kelajuan maksimum lebih 350 km/j, harga RM3 juta
Audi telah memperkenalkan Nuvolari baharu, sebuah supercar hibrid edisi terhad yang dinamakan sempena pelumba legenda Itali, Tazio Nuvolari. Terhad kepada hanya 499 unit di seluruh dunia, model ini bakal menjadi kereta produksi paling berkuasa dan paling laju pernah dihasilkan oleh pengeluar dari Ingolstadt itu.
Penghantaran dijadualkan bermula pada separuh pertama tahun 2027, dengan harga bermula dari 600,000 euro (sekitar RM3.0 juta sebelum cukai dan duti) di Jerman.
Trenkuasa hibrid 1,001 PS

Kuasa dijana oleh gabungan enjin 4.0 liter biturbo V8 yang digandingkan dengan tiga motor elektrik. Enjin V8 itu menghasilkan 800 PS dan 730 Nm, manakala dua motor elektrik di gandar hadapan mampu menjana sehingga 2,150 Nm tork. Gabungan enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik ini menghasilkan kuasa keseluruhan 1,001 PS.
Dari segi prestasi, Audi mendakwa Nuvolari mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 2.6 saat, 0-200 km/j dalam 6.8 saat, serta mencapai kelajuan maksimum melebihi 350 km/j.
Teknologi diinspirasikan Formula 1
Nuvolari turut memperkenalkan sistem quattro Predictive Ride baharu yang menggunakan data seperti sudut stereng, pergerakan kenderaan dan tahap cengkaman untuk melaras agihan tork, sistem brek dan aerodinamik secara proaktif bagi memastikan tahap cengkaman dan kestabilan optimum.
Pemandu boleh memilih antara mod E-Hybrid, Balanced, Dynamic dan Dynamic+, manakala mod Track membolehkan sistem kawalan cengkaman dilaras mengikut gaya pemanduan dan keadaan litar.
Audi turut menyatakan bahawa sistem pengurusan tenaga hibrid serta fungsi Launch Control pada Nuvolari dibangunkan berasaskan teknologi Formula 1.
Binaan karbon dan aerodinamik aktif
Nuvolari merupakan model produksi pertama Audi yang menggabungkan struktur Audi Space Frame dengan panel badan gentian karbon. Hampir keseluruhan panel luaran diperbuat daripada plastik bertetulang gentian karbon (CFRP), sekali gus membantu mengurangkan berat sambil meningkatkan ketegaran struktur.
Sistem aerodinamik aktif turut menjadi antara tarikan utama. Sayap belakang boleh laras akan menyesuaikan kedudukannya mengikut keadaan pemanduan, selain turut dilengkapi sistem Drag Reduction System (DRS) seperti yang digunakan dalam Formula 1 untuk mengurangkan rintangan angin pada kelajuan tinggi.
Dalam tetapan maksimum, pakej aerodinamik ini mampu menghasilkan lebih 400 kg daya mendap (downforce).
Kabin berorientasikan pemandu

Di bahagian kabin, Audi mengekalkan pendekatan yang ringkas tetapi berorientasikan prestasi. Tempat duduk ringan berasaskan gentian karbon, kemasan aluminium dan susun atur kawalan yang kemas memastikan perhatian pemandu kekal tertumpu kepada pengalaman pemanduan.
Audi turut membahagikan kabin kepada dua zon berbeza. Bahagian hadapan menampilkan tema warna gelap yang direka untuk membantu pemandu kekal fokus, manakala bahagian belakang menggunakan warna lebih cerah yang dikenali sebagai Shadow Dune. Paparan digital dan kawalan fizikal pula direka dengan susun atur yang intuitif, memastikan semua fungsi utama mudah dicapai tanpa menjejaskan tumpuan.
Peminat segala jenis kenderaan