Xiaomi YU7 GT (2026) pecah rekod Nurburgring sekali lagi – 7 minit 22.755 saat

Xiaomi terus mencuri perhatian dunia automotif apabila YU7 GT sekali lagi berjaya memecahkan rekod sebagai SUV produksi terpantas di Nurburgring dengan catatan masa 7 minit 22.755 saat.

SUV elektrik berprestasi tinggi itu dipandu pelumba Belgium, Vincent Radermecker, yang berjaya memperbaiki catatan terdahulu sebanyak 12 saat. Rekod sebelumnya itu sendiri sudah cukup mengagumkan kerana berjaya menewaskan Audi RS Q8 Performance untuk merampas gelaran tersebut.

Pakej trek jadi senjata rahsia

Menurut laporan Autohome, rekod terbaru ini dicapai menggunakan “Track Package” yang masih belum dilancarkan secara rasmi. Pakej itu difahamkan merangkumi tayar semi-slick serta tayar belakang lebih lebar bersaiz 325 mm berbanding 295 mm pada model standard.

Selain itu, unit yang digunakan untuk catatan masa tersebut turut dilihat dilengkapi sangkar keselamatan atau roll cage.

Kuasa melebihi 1,000 hp

YU7 GT dipacu oleh sepasang motor elektrik, dengan motor hadapan menghasilkan 392 hp, manakala motor belakang yang dikenali sebagai V8s menjana 612 hp. Kombinasi itu memberikan kuasa keseluruhan mencecah 1,003 hp dan 1,068 Nm tork.

Dengan sistem pacuan semua roda (AWD), ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 2.92 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 300 km/j.

Rekaan lebih agresif

Kuasa dibekalkan oleh bateri litium berkapasiti 101.7 kWj yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 705 km dengan sekali cas penuh.

Dari segi pengecasan, bateri tersebut menyokong pengecasan pantas yang membolehkan kapasiti dicas dari 10% hingga 80% dalam hanya 12 minit. Menggunakan sistem 897V, ia juga mampu menambah sehingga 570 km jarak pemanduan dalam tempoh 15 minit pengecasan.

Sebagai model yang memfokuskan prestasi, YU7 GT turut dilengkapi brek karbon seramik, suspensi udara adaptif, rim 21-inci dan kemasan gentian karbon.

Harga jualan di China bermula dari RMB389,900 (sekitar RM228,000), menjadikannya model YU7 paling mahal dalam barisan SUV elektrik Xiaomi ketika ini. Walau bagaimanapun, angka tersebut boleh dikatakan amat berbaloi untuk jentera sepantas ini.