Ducati Hypermotard 698 Mono Nera 2026, garang dengan warna hitam dan Ducati Red

Siri jentera motard Ducati kini berkembang dengan pengenalan Ducati Hypermotard 698 Mono Nera 2026. Model ini melengkapkan barisan motosikal jalanan silinder tunggal jenama tersebut.

Menampilkan skema warna hitam sepenuhnya bersama spesifikasi teknikal yang ekstensif, model Nera ini ditawarkan pada harga bermula dari €13,990 (RM64,508) dan bakal berada di semua pengedar sah Ducati Eropah bermula bulan Jun 2026.

Reka Bentuk Estetika dan Kemasan Nera

Skema warna Nera menggabungkan warna hitam dan merah untuk memberikan penampilan moden serta berprestasi tinggi pada model 698 Mono.

Warna hitam menguasai keseluruhan reka bentuk bagi mencipta gayaan yang berani dan agresif, manakala warna Ducati Red pada bahagian rim dan rangka mengukuhkan lagi tema kuasa serta prestasi jentera ini.

Penampilan bahagian belakang diserlahkan melalui penggunaan peredam bunyi keluli Termignoni yang dihomologasikan.

Peredam bunyi ini hadir dengan kemasan hitam dan perincian merah yang sepadan dengan warna badan, sekali gus memberikan gayaan lasak dan meningkatkan karakter sporty motosikal.

Enjin Warisan Panigale

Motosikal ini dicipta dengan objektif utama untuk memberikan keterujaan ketika mengambil selekoh, di litar lumba dan juga di persekitaran bandar.

Jentera ini menerapkan penyelesaian teknikal daripada model Panigale untuk bahagian enjin, elektronik dan casis ke dalam segmen Ducati yang sepenuhnya baharu.

Hypermotard 698 Mono dikuasakan enjin Superquadro Mono berkuasa 78.6 ps dengan putaran sehingga 10,250 rpm.

Enjin jalanan silinder tunggal paling canggih dan berprestasi tinggi ini dibangunkan berasaskan enjin dua silinder Panigale 1299 .

Ia mewarisi omboh dengan ukuran gerek 116 mm, kebuk pembakaran, injap masukan titanium dan injap ekzos keluli.

Jentera ini juga didatangkan standard dengan fungsi Ducati Quick Shift (DQS).

Rangka dan Casis Ringan

Ducati Hypermotard 698 Mono Nera dibina dengan reka bentuk kompak dan ringan, dengan berat 151 kg dalam keadaan tanpa bahan api.

Berat ini dicapai melalui penggunaan rangka trellis pelbagai ketebalan dan profil yang menawarkan gabungan kekuatan, ketegaran serta keringanan.

Selain itu, motosikal ini dilengkapi dengan rim tuang serta cakera brek yang menggunakan bebibir (flanges) aluminium.

Bahagian lengan ayun dua sisi yang ringan dan ringkas pula beroperasi melalui rangkaian progresif yang disambungkan kepada penyerap hentak belakang yang boleh dilaraskan sepenuhnya.

Sistem Elektronik Penting dan Bantuan Tunggangan

Hypermotard 698 Mono Nera dilengkapi pakej elektronik canggih dalam kategorinya untuk membantu penunggang kurang berpengalaman mempelajari teknik tunggangan gaya Supermotard.

Sistem keselamatan ini disokong oleh ABS Cornering yang mempunyai tetapan khusus untuk mengendalikan situasi tunggangan mengiring (sideways riding) di atas litar melalui fungsi Slide-by-brake.

Rangkaian elektronik dilengkapkan lagi dengan sistem yang dibangunkan khusus daripada model Panigale V4, iaitu Ducati Traction Control, Ducati Wheelie Control, Engine Brake Control, Ducati Power Launch dan Ducati Quick Shift (DQS) Up/Down.

Sistem Ducati Wheelie Control juga mempunyai fungsi khusus untuk litar lumba.

Pada versi standard, tetapan paling rendah membolehkan tayar hadapan terangkat secara terkawal dan selamat untuk memaksimumkan prestasi dan keseronokan.

Apabila penunggang memasang ekzos perlumbaan Termignoni (khusus untuk kegunaan litar sahaja dan memberikan peningkatan kuasa sebanyak 7.1 ps atau 7 hp), sistem akan mengaktifkan fungsi bantuan tambahan Wheelie Assist.

Sistem elektronik ini akan membantu penunggang mengekalkan aksi wheelie yang berpanjangan dengan mengawal sudut condong melalui hantaran tork enjin.

Aksesori Ducati Performance

Para pemilik boleh mengubahsuai jentera mereka menggunakan aksesori daripada Ducati Performance yang diperbuat daripada komponen bermutu tinggi.

Antara aksesori yang ditawarkan adalah komponen yang dimesin bilet (billet-machined), pemegang nombor pendaftaran aluminium, pelana sport dan pemijak kaki perlumbaan.