Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) Sdn Bhd hari ini melancarkan produk tayar baharu Potenza Adrenalin RE005 untuk pasaran tempatan.
Michael Chung, Pengarah Urusan Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) Sdn Bhd berkata, “Potenza Adrenalin RE005 mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan prestasi mengujakan yang memenuhi jangkaan pemandu masa kini.
“Dibangunkan dengan DNA sukan permotoran Bridgestone, tayar ini direka untuk memberikan kawalan yakin, pengendalian responsif dan keseronokan pemanduan yang sesuai dengan jalan serta cuaca Malaysia.”
Tersedia dalam 46 saiz untuk rim saiz 15 hingga 20 inci, tayar ini dijual pada harga dari RM351 hingga RM1,543.
Teruskan legasi model RE004
Tayar generasi kelima ini dibangunkan berdasarkan legasi model terdahulu, iaitu Adrenalin RE004.
Ia menawarkan peningkatan cengkaman kering 8 peratus dan cengkaman basah sebanyak 10 peratus.
Hasilnya, pretasi yang lebih konsisten dalam pelbagai keadaan pemanduan.
Rekaan blok lebar juga membantu mengagihkan tekanan secara sekata untuk memastikan cengkaman lebih kukuh dan kawalan lebih tepat di jalan kering mahupun basah.
Blok penyambung yang dioptimumkan serta alur berbentuk A menyumbang kepada kestabilan ketika membelok dan mengambil selekoh.
Selain itu, rekaan rusuk dalaman yang lebih lebar memberikan tindak balas stereng yang lebih pantas.
Kawalan lebih yakin di jalan basah
Rekaan alur yang direka khas meningkatkan keupayaan menyalirkan air sekali gus mengurangkan risiko hidroplaning.
Selain itu, kompaun getah generasi baharu meningkatkan kadar cengkaman dan respons dalam semua keadaan.
Kompaun ini menawarkan rintangan haba yang lebih baik untuk memastikan prestasi yang konsisten dan boleh diharap.
Selain itu, kompaun getah baharu ini membantu mengurangkan rintangan golekan, menyumbang kepada kecekapan bahan api yang lebih baik.
Rekaan Multi-Round Block mengoptimumkan tekanan sentuhan pada bahu tayar untuk memaksimumkan jangka hayat bunga dan prestasi yang konsisten.
Sedia untuk pelbagai model termasuk EV
Tayar Bridgestone Potenza Adrenalin RE005 kini ditawarkan di pengedar sah Bridgestone di seluruh negara.
Ia sesuai untuk pelbagai jenis kenderaan termasuklah sedan, EV dan kereta berprestasi tinggi.
