Autobacs Super GT 2026 Pusingan Malaysia ditangguhkan

GTA Co. Ltd bersama Haro Sports & Entertainment Sdn Bhd mengumumkan penangguhan acara Autobacs Super GT 2026 Pusingan Malaysia yang sepatutnya diadakan pada pertengahan tahun ini.

Keputusan tersebut dibuat setelah penilaian menyeluruh terhadap situasi global semasa terutama konflik di Timur Tengah.

Ia memberikan cabaran besar dari segi operasi dan logistik, memandangkan Malaysia merupakan satu-satunya lokasi penganjuran Super GT di luar Jepun.

Selain itu, peningkatan mendadak kos kargo antarabangsa dan tambang penerbangan menjejaskan kemampuan untuk menganjurkan perlumbaan pada standard yang dijangkakan oleh kejuaraan, rakan kongsi serta para peminat.

Autobacs Super GT akan kembali ke Malaysia

Fahrizal Hassan, Rakan Kongsi Pengurusan Haro Sports & Entertainment mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas kefahaman mereka dalam situasi mencabar ini.

“Perlumbaan (Super GT) akan kembali ke Malaysia, dan kami komited untuk menjadikannya dua kali lebih hebat,” jelasnya lagi.

Masaaki Bandoh, Presiden dan CEO GTA menambah, “Keputusan ini memang sukar, namun kami menghargai kefahaman peminat Jepun, peserta, penaja dan media.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Haro Sports dan semua pihak di Malaysia agar peminat di sini dapat menikmati aksi Super GT sekali lagi,” ujarnya.

Kedua-dua pihak GTA dan Haro Sports menegaskan komitmen mereka untuk membawa semula Super GT ke Malaysia apabila keadaan kembali stabil dan selamat.

Maklumat lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa.