Lotus Emira Turbo Bathurst Edition 2026: 503 hp, 15 unit sahaja untuk Australia, harga RM692k
Lotus telah memperkenalkan versi Emira paling ganas iaitu Emira Turbo Bathurst Edition 2026 dan seperti yang boleh dijangka, ia hanya ditawarkan untuk pasaran Australia.
503 hp untuk takluk Mount Panorama
Dibangunkan oleh pengedar rasmi Lotus di Australia, Simply Sports Cars, edisi Bathurst ini menaikkan prestasi Emira Turbo ke satu aras baharu. Enjin 2.0 liter turbo empat silinder M139 daripada AMG kini ditala sehingga 503 hp dan 600 Nm, 144 hp dan 180 Nm lebih tinggi berbanding versi standard.
Walaupun mengalami naik taraf yang signifikan, kuasa masih disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi klac berkembar lapan kelajuan. Dengan 503 hp, Bathurst Edition secara rasminya adalah Emira paling berkuasa pernah dihasilkan setakat ini.
Naik taraf bukan sekadar pada enjin. Ia turut menerima penyerap hentak boleh laras tiga tahap, tetapan jajaran roda baharu serta tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih melekit. Sistem brek juga dipertingkat dengan angkup empat omboh AP Racing bersama cakera berkembar pada bahagian depan dan belakang.
Pengeluaran dihadkan kepada hanya 15 unit, setiap satu didatangkan dengan nombor siri tersendiri. Menurut Lotus, satu daripadanya sudah pun ditempah.
Luaran: Aero gaya GT4
Dari segi penampilan, perubahan jelas kelihatan menerusi splitter gentian karbon pada bahagian depan, manakala di belakang terdapat sayap besar ala GT4 untuk membantu kestabilan pada kelajuan tinggi.
Livery khas berinspirasikan GT4 serta logo unik pada bahagian sisi dan belakang membezakan model ini daripada Emira biasa. Pembeli hanya boleh memilih warna rim, manakala spesifikasi selebihnya adalah tetap.
Dalaman: Ringkas tetapi eksklusif
Ruang kabin Bathurst Edition hampir sama seperti Emira standard. Perubahan utama hanyalah plak khas yang menunjukkan nombor siri pengeluaran bagi menandakan status edisi terhad.
Di Australia, model ini ditawarkan pada harga AUD249,990 (RM692,044) dan setiap pembeli akan turut mendapat jemputan ke acara track day khas Lotus di Mount Panorama pada tahun 2027, di mana mereka boleh benar-benar menguji kemampuan jentera ini.
Peminat segala jenis kenderaan