Adakah ini Toyota GR Celica serba baharu?

Satu jentera rali misteri dipercayai sebagai Toyota GR Celica dikesan sedang diuji di Portugal.

Berdasarkan gambar dan video yang muncul di laman media sosial, jentera tersebut membawakan bentuk badan coupe dua pintu yang dibaluti pelekat samaran Toyota Gazoo Racing.

 

Ia juga hadir dengan spoiler belakang yang agak tinggi, skup bumbung serta fender yang agak lebar.

Tidak banyak info didedahkan buat masa ini, namun besar kemungkinan ia adalah petunjuk jentera Celica yang bakal melengkapi barisan kereta pantas GR akan datang.

 

 

‘Celica’ pernah muncul dua tahun lepas

Bertempat di SEMA 2024, Toyota ada mempamerkan sebuah jentera GR86 Rally Legacy Concept.

Jentera ini turut disebut sebagai model pra-tonton untuk Celica berdasarkan ciri-ciri berikut:

  • liveri klasik yang diinspirasikan daripada Celica WRC era 90-an
  • enjin G16E-GTS 1.6L turbo menggantikan nadi boxer asal
  • sistem pacuan semua roda GR-Four

 

GR Celica dengan enjin 2.0L?

Usah terlupa, Toyota juga sedang membangunkan enjin empat silinder sebaris generasi baharu yang boleh diaplikasikan pada jentera pantas.

Enjin ‘red top’ bersesaran 2.0 liter dengan pengecas turbo itu dikatakan mampu menjana lebih 400 PS dan 500 Nm.

Berbanding enjin 2.4 liter turbo sedia ada, enjin baharu ini mempunyai pakej lebih kompak dan jauh lebih berkuasa.

Untuk Celica, memang sesuai sangat.

 

Toyota GR86 Rally Concept