Moda Shifter 400X 2025 rasmi di Malaysia – harga dari RM23,888

MDua Motor Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan skuter kembara Moda Shifter 400X yang direka untuk semua lapisan pengguna.

Ia dijana dengan enjin silinder tunggal SOHC 333 cc sejukan cecair yang dilengkapi sistem suntikan bahan api, mampu menghasilkan kuasa 26.8 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 33.5 Nm @ 5,500 rpm.

Sistem suspensi Shifter 400X terdiri daripada fork teleskopik di hadapan serta penyerap hentak gas berkembar di belakang.

Brek pula menggunakan rotor tunggal 276 mm pada roda depan, dan rotor tunggal 240 mm pada roda belakang, dibantu dengan fungsi ABS dan kawalan cengkaman (TCS).

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah skrin penghadang angin boleh laras, lampu utama adaptif, lampu berhenti kecemasan, sistem tanpa kunci pintar, serta slot pengecasan USB dan soket kuasa 12V yang tersedia dalam ruang storan sisi hadapan.

Di bawah pelana setinggi 775 mm itu terdapat ruang barangan yang cukup besar untuk memuatkan dua helmet.

Segala info boleh dibaca menerusi skrin paparan TFT tujuh inci berwarna, selain boleh dihubungkan kepada peranti pintar menerusi aplikasi Ride App.

Akhir sekali, Shifter 400X ini turut didatangkan dengan ciri kamera perakam tunggangan depan dan juga belakang.

Untuk pasaran tempatan, Moda Shifter 400X 2025 ditawarkan dalam pilihan warna Ninja Black dan Ultra White. Harga jualan pula bermula dari RM23,888 tidak termasuk cukai, pendaftaran dan insurans.