fbpx

5 Toyota GR baru mendarat di Malaysia – Supra 6MT, GR Corolla, GR86, Hilux dan Corolla Cross GR Sport

toyota lima gr 2023

HARI ini pastinya menjadi highlight buat UMW Toyota Motor (UMWT) untuk tahun 2023, kerana mereka bukan melancarkan satu atau dua, tetapi lima model sekaligus. Dan kesemua model ini adalah GR dan GR Sport.

Mari kita lihatkan satu per satu.

GR Supra 6MT

Hero kepada pelancaran kali ini sudah tentu Toyota GR Supra 6MT, iaitu dengan kotak gear manual 6-kelajuan. Jika anda masih ingat, Supra A90 pada 2019 mula dilancarkan dengan kotak gear automatik sahaja, tetapi April 2022 Toyota telah memperkenalkan varian manual kepada model ini.

Tetapi bagi anda yang malas untuk menggunakan kaki kiri terlalu kerap, masih boleh memilih kotak gear automatik 8-kelajuan seperti sebelum ini.

Enjin: 3.0-liter turbo 6-silinder sebaris
Output: 382hp, 500Nm
Kotak gear: Manual 6-kelajuan atau automatik 8-kelajuan
Ciri utama: iMT rev-matching, Adaptive Variable Suspension, mod pemanduan Sports dan Normal, rim 19-inci, Head Up Display, sistem audio JBL
Harga: RM645,000 (manual), RM655,000 (automatik)

GR Corolla

Seterusnya ialah GR Corolla. Hm mungkin model ini juga boleh menjadi hero pelancaran, penulis pun sudah keliru kerana kebanyakan model kali ini cukup mengujakan.

GR Corolla ialah hot hatch dengan mekanikal yang diambil dari GR Yaris, bermakna ia mendapat enjin 1.6-liter turbo, pacuan semua-roda GR-Four dan hanya hadir dengan kotak gear mandatori: manual 6-kelajuan.

Enjin: 1.6-liter turbo 3-silinder
Output: 300hp, 370Nm
Kotak gear: Manual 6-kelajuan
Ciri utama: Sistem pacuan GR-Four, iMT rev-matching, LSD Torsen, rim 18-inci, tayar Yokohama Advan, Toyota Safety Sense
Harga: RM355,000

GR86

Model ketiga ialah generasi serba baharu untuk coupe sports kecil dua-pintu Toyota, iaitu GR86. Dibangunkan bersama Subaru, model ini menawarkan pemanduan lebih pure, iaitu enjin naturally-aspirated tanpa turbo seperti Supra dan GR Corolla, selain pacuan roda-belakang dan casis seimbang.

Antara pembaharuan berbanding generasi sebelum ini ialah enjin boxer 4-silinder yang kini bersesaran lebih besar, kini 2.4-liter berbanding 2.0-liter sebelum ini. Ia menjurus kepada peningkatan kuasa dan tork, serta mungkin juga lebih seronok dipandu.

Enjin: 2.4-liter naturally-aspirated boxer
Output: 232hp, 250Nm
Kotak gear: Manual atau automatik, 6-kelajuan
0-100: 6.3 saat
Ciri utama: Paparan infotainmen 8-inci dengan Apple Carplay dan Android Auto, tempat duduk suede-kulit, tujuh beg udara, pakej sistem keselamatan aktif
Harga: RM296,354 (manual), RM306,354 (automatik)

Hilux GR Sport

Ya, anda tidak salah baca. Hilux juga kini mendapat sentuhan GR, apa salahnya, bukan? Malah terdapat banyak versi Hilux GR Sport di seluruh dunia, tetapi kita mendapat versi yang agak serupa dengan Thailand.

Hilux ini bukan hanya membawa imej GR, ia tetap mendapat beberapa komponen seperti penyerap hentak monotube sport dan paddle-shifter.

Enjin: 2.8-liter turbodiesel
Output: 204PS, 500Nm
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan
Ciri utama: Penyerap hentak sport, kit GR Sport pada gril, fender, sports bar dan antena, kaliper brek merah, rim aloi 18-inci
Harga: RM159,880

Corolla Cross GR Sport

Akhir sekali, talaan GR Sport diberikan kepada SUV popular Toyota, iaitu Corolla Cross. Ia hadir dengan warna badan dwi-tona; kemasan hitam pada cermin sisi, bumbung, spoiler, dan gril depan untuk rupa lebih sporti.

Enjin: 1.8-liter naturally-aspirated 4-silinder
Output: 139hp, 172Nm
Kotak gear: CVT
Ciri utama: Badan dwi-warna, kemasan GR Sport, rim 18-inci, ECU sport, suspensi sport, Toyota Safety Sense
Harga: RM142,000

Galeri

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved